20 tahun dilapor pupus, burung ini ditemui semula. Spesies burung kakak tua yang kali terakhir dikesan 20 tahun lalu, ditemukan semula di Brazil.
Lapor The Guardian, spesies Macaw Spix pernah `hilang’ di hutan, kini kembali semula selepas projek pembiakan burung dilaksanakan.
Sekumpulan spesies burung kakak tua itu dilaporkan terbang dengan bebas di negara itu selepas dilepaskan sebulan lalu.
Menurut penasihat teknikal projek itu, Tom White, projek penyelamat spesies burung itu berjalan dengan lancar.
“Spesies burung itu dilepaskan kira-kira sebulan lalu dan kini semuanya berada dalam keadaan selamat.
“Mereka bergerak secara berkumpulan, tinggal di lokasi di mana ia dibebaskan dan mula makan tumbuhan dan tanaman di sekitar kawasan itu.
“Setakat ini, projek tersebut berjalan dengan baik,” kata White yang juga ahli biologi dari Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS).
Spesies Macaw Spix menjadi mangsa bencana alam sekitar yang bermula pada abad ke-19.
Ketika pertanian terus berkembang di seluruh Amerika Selatan, habitat burung kakak tua di Caatinga di timur laut Brazil, terjejas akibat ternakan termasuk kambing.
Malah, tanah itu terhakis teruk dan bilangan burung Macaw juga berkurangan disebabkan habitat haiwan itu musnah.
Sementara itu, White berkata, setiap burung Macaw Spix yang dilepaskan dipasang dengan pemancar radio dan akan dipantau secara teliti.
Tambah beliau, ahli konservasi juga merancang untuk melepaskan lebih banyak spesies burung itu menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya, mereka juga berharap agar spesies burung Macaw Spix itu akan mula membiak di hutan pada musim bunga akan datang.
BACA:
MamatGotNoChill raih pendapatan cecah ratus ribu, ramai terkejut