206 dikesan ingkar penjarakan fizikal

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 455 individu kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam, termasuk 206 membabitkan kesalahan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 427 individu terbabit dikompaun, manakala 27 lagi direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan mengingkari PKP itu ialah aktiviti pusat hiburan (72), tidak memakai pelitup muka (63) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59).

 

“Selain itu, 21 orang ditahan kerana merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan 34 lagi atas kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi pematuhan diketuai PDRM turut menjalankan 59,602 pemeriksaan, semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,779 pasukan pematuhan membabitkan 13,544 anggota melakukan pemantauan di 3,551 pasar raya, restoran (5,069), penjaja (1,862), kilang (1,182), bank (3,361) dan pejabat kerajaan (509).

“Pemantauan juga dibuat di 1,112 terminal pengangkutan darat, 249 terminal pengangkutan air serta 96 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/756657/206-dikesan-ingkar-penjarakan-fizikal