62 jemaah umrah Malaysia terkandas di Indonesia susulan tiada tiket balik

62 jemaah umrah Malaysia terkandas di Indonesia susulan tiada tiket balik. Seramai 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta, berikutan ditahan pihak berkuasa Indonesia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

Jemaah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2 petang tadi (Khamis) dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada jam 7 malam tadi.

Kumpulan jemaah itu dilaporkan akan menunaikan ibadah umrah bermula Khamis hingga 7 Mac depan.

Namun, kesemua mereka tidak dibenarkan berlepas berikutan pihak agensi pelancongan tidak membeli tiket balik dari Jeddah.

Status penerbangan pulang yang ‘mengelirukan’ menyebabkan pihak berkuasa lapangan terbang tidak membenarkan kumpulan jemaah ini terbang meskipun tiket ke Jeddah menggunakan pesawat Saudi Airlines sudah dibeli.

Rata-rata jemaah meluahkan rasa kecewa berikutan pihak agensi cuai dalam pembelian tiket.

Salah seorang jemaah, Hamizah Basir, yang merupakan wartawan Sinar Harian turut terkandas dalam kumpulan tersebut.

“Kami sepatutnya terbang ke Jeddah pukul 7 malam waktu Indonesia, tetapi kami tidak dibenarkan berlepas kerana tiada tiket pulang.

“Kecuaian pihak agensi pelancongan menyebabkan kami tersidai di airport sejak pukul 6 petang tadi,” katanya.

Salah seorang jemaah, Dewi Hidayanti Harun, 57, berkata, dia berasa kecewa dengan pihak pengurusan agensi pelancongan berkenaan kerana banyak kali gagal menunaikan janji kepada para jemaah.

“Saya sekeluarga alami masalah tiket sejak dari bulan Oktober lagi. Sudah lima kali tiket saya ditunda oleh pihak syarikat sehinggalah semalam baru dapat tiket penerbangan.

“Apa yang menimbulkan persoalan sekarang ini adalah macam mana pihak agensi pelancongan boleh terbangkan kami tanpa beli tiket pulang?

“Mula-mula kami dijanjikan akan terbang terus ke Madinah. Tapi tiket berubah apabila diberitahu perlu transit di Jakarta.

“Bila sampai di Jakarta, kami tidak dibenarkan berlepas ke Jeddah. Jadi, kami kena tunggu sampai bila?,” soalnya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi wakil agensi pelancongan tersebut gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Difahamkan, pihak pengurusan syarikat yang beribu pejabat di Putrajaya itu sedang bermesyuarat bagi menangani masalah jemaah terkandas ini.

BACA JUGA:

Ronaldo teruja raikan hari Penubuhan Arab Saudi Bersama rakan sepasukan

Dewan Rakyat: Tumpu kepada rasional kemasukan pakar perumahan Singapura ke Malaysia

Warga Turkiye luahkan rasa seperti sedang kiamat ketika gempa bumi terjadi