DATUK Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai bangang kerana cuba merendahkan kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pengurusan bencana.
Beliau berkata Wan Saiful tidak mengetahui struktur Jabatan Perdana Menteri, iaitu tugas menguruskan bencana kebiasaannya diserahkan kepada seorang Timbalan Perdana Menteri.
“Kita tak ada TPM jadi kuasa berkenaan terletak dalam bidang kuasa Menteri Tugas-tugas Khas (Abdul Latiff Ahmad). Latiff ini daripada Bersatu. Dia ini Menteri Bersatu,” katanya dipetik FMT, hari ini.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu membidas Wan Saiful yang sengaja membuat kenyataan menyerang Perdana Menteri dengan meminta supaya lebih pro aktif mengetuai penyelarasan operasi bantuan banjir.
“Kalau tak tahu, tak payah cakap, jangan nak memperbodohkan diri. Ini hanya untuk serang Perdana Menteri sahaja.
“Saya tahulah, sebab saya jadi Menteri uruskan MKN selama sembilan tahun, bukan Perdana Menteri,” katanya.
Terdahulu, Wan Saiful dalam kenyataannya berkata, tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletakkan atas bahu Perdana Menteri.
Katanya, penyelarasan antara agensi untuk memastikan proses penyampaian bantuan lebih tersusun paling penting, dengan adanya jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri.