Ahli farmasi dijatuhi hukuman gantung sampai mati

Ahli farmasi dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh isterinya, dua tahun lalu.

Hakim Azahari Kamal Ramli membuat keputusan itu terhadap Wong Zing Haw, 43, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Wong didakwa membunuh warganegara China, Yang Xi, antara 25 Februari 2018 sekitar 9.30 pagi dan 3 Mac 2018 sekitar jam 4.30 petang di Lot 1530, Block 3, Simanggang Town Land District di Sri Aman.

Bagi pertuduhan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Musli Abdul Hamid, manakala Wong diwakili peguam, Jubilen Austinway dan Fairuz Masri.

Pada 28 September lalu, Wong diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Sri Aman selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie bagi kes terbabit.

Pada 4 Mac 2018, media melaporkan polis mengenal pasti kepala manusia yang ditemui di sungai sekitar Skait di sini, milik seorang wanita warganegara China berusia 31 tahun.

Pihak polis kemudiannya menyoal tertuduh yang juga suami wanita berkenaan dan memaklumkan isterinya menghilangkan diri beberapa hari, namun dia tidak membuat laporan polis atas alasan tertentu.

Disebabkan keterangan meragukan, tertuduh direman selama dua minggu untuk soal siasat sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sri Aman pada 16 Mac 2018

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/647823/bunuh-isteri-ahli-farmasi-digantung-sampai-mati