Akhirnya :ADUN Rembia kembali ke UMNO selepas 9 bulan

Ahli Dewan Undangan Negeri Rembia, Muhammad Jailani Khamis, hari ini menyertai UMNO, setelah sembilan bulan menjadi wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada PKR.

Penyertaan Jailani, yang merupakan EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, diumumkan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Abdul Ghafaar Atan, sewaktu mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu hari ini.

Jailani berkata keputusan menyertai UMNO diambil kerana yakin parti itu akan menjadi wadah relevan buatnya dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.

“Tujuan lain adalah untuk menguatkan lagi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Saya tetap setia dengan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku ketua kerajaan PN dan kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali daripada BN di peringkat negeri

“Di Melaka, objektif dan matlamat PN dapat direalisasikan dengan baik oleh BN Melaka yang dipimpin oleh UMNO. Atas wadah itulah saya menyertai UMNO demi meneruskan perjuangan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.

Pada 2 Mac lalu, Jailani memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan PN, gabungan politik baharu yang dibentuk selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang susulan keputusan PPBM meninggalkan gabungan itu.

Sebelum ini, PN Melaka mempunyai 17 kerusi DUN iaitu 13 BN, 2 PPBM dan 2 wakil rakyat Bebas yang menyokong PN termasuk Muhammad Jailani, manakala 11 kerusi bagi PH iaitu 7 DAP, Amanah (2) dan PKR (2).

Sementara itu, Ghafaar berkata UMNO Bahagian Alor Gajah sentiasa bersedia menerima sesiapa sahaja yang berminat menyertai parti itu.

“Semoga kehadiran Jailani akan menguatkan lagi kedudukan UMNO Alor Gajah dan memberikan semangat baharu untuk meningkatkan lagi kekuatan kita,” katanya.

Jailani turut diumumkan sebagai ketua penerangan UMNO Alor Gajah menggantikan Senator Ismail Ibrahim yang secara suka rela menarik diri daripada jawatan itu.

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/02/adun-rembia-sertai-umno/