Akta hasutan kini bernafas semula

Antara faktor yang menarik sokongan pelbagai kaum terhadap PH ialah komitmen reformasi perundangan yang dperjuangkannya. Akta basi peninggalan penjajah seperti ISA, Akta Hasutan dll dituntut supaya dihapuskan.

Alhamdulillah perjuangan disokong oleh rakyat telah berjaya menghapuskan ISA (Internal Security Act) dalam siri kempen Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) oleh mangsa dan aktivis. Semua undang-undang ini mempunyai ciri bebanan tuduhan tanpa memerlukan bukti kukuh kerana kuasa luas yang ada di dalam takrifan kesalahannya.

Akta Hasutan (1948) pula adalah peninggalan British untuk mengekalkan penguasaan mereka dan diwarisi oleh kita hari ini dengan beberapa pindaan baru. Sebab penolakan kita kepada akta ini terletak kepada soal asas seperti apakah takrif ‘HASUT’ (SEDITIOUS)? Kenapa bebanan tuduhan longgar sehinggakan tujuan asal undang-undang itu boleh tersasar dan disalahgunakan untuk kepentingan lain.

Seluruh rakyat menolak pemimpin kuku besi kerana ia bercanggah dengan kehendak demokrasi. Namun demikian jika masih wujud undang-undang yang memberi ruang kepada pemerintah untuk ‘diamkan suara’ lawannya maka undang-undang itu sendiri mesti dihapuskan untuk memelihara negara daripada diheret ke arah pemerintahan kukubesi.

Akta yang ruang definisinya samar dan kabur seperti Akta Hasutan boleh membawa kepada hak kebebasan memberi pandangan terjejas. Menutup ruang perbezaan pandangan khususnya dalam ruang kritikan dasar negara dan keputusan politik adalah simptom kepada penguasa yang lemah kerana gagal mempertahankan tindakan mereka secara objektif dan bertamadun.

Semasa PH memerintah keputusan besar kabinet adalah bersetuju untuk meletakkan morotorium (tangguh) ke atas penggunaan Akta Hasutan dan menolak Akta Anti-Berita Palsu atas alasan akta ini ‘longgar’ dan boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa. Godaan menggunakan akta yang sedia ada sangat tinggi dalam keadaan terdesak untuk kekalkan kuasa dan mendiamkan pihak lawan. PH melihat maslahat memelihara kebebasan bersuara lebih utama walaupun mengambil risiko yang tinggi diserang golongan berkepentingan.

Kita perlu menjawab secara objektif setiap tuduhan politik dan perlu berhadapan melalui wacana sehat dan debat polisi yang konstruktif. Mungkin ia memakan masa yang panjang tetapi ruang yang diperlukan untuk mendidik kesedaran awam kepada hak bersuara adalah sangat penting. Kita tidak perlu akta yang dengan longgar mendefinisikan ‘hasutan’ mengikut selera pihak berkepentingan.

Apakah Malaysia mahu diheret kembali ke arah ‘mendiamkan suara lawan’ dengan memberi nyawa kepada Akta Hasutan? Dua dasawarsa perjuangan rakyat disia-siakan hanya kerana kehendak ‘langkah Sheraton’. Berbaloikah semua ini

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

Sumber: