Anggota polis kantoi ditahan sedang berkaraoke

Enam anggota polis ditahan ketika sedang berkaraoke di sebuah premis yang menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen di Bunut Payong di sini, Khamis minggu lalu.

Dalam serbuan pada jam 11.30 malam itu, dua anggota polis berada di ruang tamu premis itu manakala empat lagi sedang berkaraoke dalam sebuah bilik.

Sumber berkata, selain enam anggota yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun, polis turut menahan pemilik premis berusia 25 tahun.

“Empat yang ditahan adalah anggota cawangan pengiring, seorang dari cawangan trafik dan seorang lagi dari cawangan pengangkutan IPD Kota Bharu.

 

“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen. Peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu juga dirampas,” katanya.

Katanya, kegiatan pusat hiburan atau karaoke menjadi salah satu kesalahan di Kelantan kerana kerajaan negeri tidak membenarkan pembukaan pusat itu.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan penahanan enam anggota polis berkenaan.

Katanya, siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kelantan (JIPS).

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/646210/6-anggota-polis-ditahan-sedang-berkaraoke