Anwar bagaikan Michael Scofield dalam Prison Break

Langkah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak melakukan undi belah bahagi ke atas belanjawan 2021 dibuat pada saat-saat akhir mengingatkan saya kepada watak Machael Scofield dalam siri television Prison Break yang disiarkan Netflix pada 2005. Watak fiksional Scofield dilakonkan oleh Wentworth Miller adalah seorang daripada watak protagonist dalam siri televisyen tersebut.

Karakter Scofield bermula dalam musim satu siri pertama dalam Prison Break dengan cara yang menarik apabila dengan sengaja memasukkan diri ke penjara (sengaja merompak bank) dengan rancangan awal untuk membebaskan abangnya Lincoln Burrow (dilakonkan oleh Dominic Purchell) sebelum dihukum mati dikerusi elektrik dalam jenayah pembunuhan yang dilakukan. Pelan meloloskan diri ini ditatukan di seluruh badannya secara simbolik.

Apa yang menarik untuk disamakan Anwar dengan watak Scofield ialah dari segi kreaitiviti dan pemikiran strategis dalam mengambil langkah ke depan. Seperti watak fiksional Scofied dalam prison break yang kepintaran dalam merancang sesuatu langkah yang akan diambil dan mempunyai pelan alternatif jika pelan asal gagal.

Dalam lakonannya itu Scofield adalah seorang tidak pernah berhenti berfikir dengan strategis dan apabila berhadapan dengan masalah beliau akan berfikir sejenak kemudian dapat mencari jalan penyelesaian sepantas mungkin. Mungkin Anwar tidaklah dapat disamakan seratus peratus dengan watak fiskional tersebut.

Kehebatan pemikiran Scofield yang tidak pernah berhenti berfikir walaupun sesaat pun dan setiap kali apabila berhadapan denngan masalah akan ada pelan-pelan jalan keluar (misalnya dalam siri tevisyen ini meloloskan diri dari penjara dan juga apabila berhadapan dengan ancaman musuh beliau akan segera berfikir dalam mencari jalan keluar) wajar direnungi oleh ahli politikus.

Anwar ketika berhadapan dengan situasi belanjawan di Parlimen yang asalnya menentang berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum penggulungan Menteri kewangan telah mengambil langkah sebaliknya yang amat mengejutkan warga Internet khususnya pihak pembangkang. Malah ramai yang merasa kecewa dan menghentam Anwar di media sosial.

Apa yang dilakukan Anwar ialah pemikiran senario dan merangka pelan akhir. Satu contoh pemikiran Scofield dalam satu babak ialah Scofield dan rakan yang merancang meloloskan diri dalam penjara di Panama apabila telah berjaya menemui laluan untuk keluar. Laluan itu menuju ke atas dan Scofield memeriksa lubang itu.

Tetapi salah seorang banduan dalam kumpulan lain yang mendapat maklumat bahawa Scofield menemui jalan meloloskan diri dari penjara. Mereka telah mengugut hendak membunuh salah seorang ahli kumpulan Scofield dan dipaksa dibawa ke kawasan bawah tanah. Apabila sampai beliau inginkan menjadi orang pertama hendak meloloskan diri.

Ahli kumpulan Scofield membantah kerana mereka bersusah payah mengorek terowong dan menemui jalan keluar tiba-tiba Scofield memberikan banduan dari luar kumpulan tersebut untuk keluar dahulu. Banduan tersebut dengan gembira bergerak keluar daripada lubang tersebut tetapi apabila dia menyentuh lubang atas itu timbunan tanah jatuh ke atas kepala dan tubuhnya. Dia mati dan baharulah banduan ahli kumpulan Scofield memahami kenapa beliau memberikan laluan kepada banduan tersebut untuk keluar melalui lubang atau laluan itu dahulu.

Tidak dinafikan ramai yang kecewa kerana peluang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional telah diketepikan. Tetapi sebelum ini kita tidak pernah beri perhatian semasa proses perbentangan belanjawan terutamanya mengenai bacaan pertama, kedua dan ketiga sebelum ia diluluskan.

Kejahilan kita mengetahui proses meluluskan usul perbentangan menyebabkan kita lekas naik marah, mengecam dan memaki hamun Anwar di media sosial.

Kenapa Anwar memutuskan agar tidak dibuat undi belah bahagi kerana jika pembangkang atau ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membantah belanjawan 2021 di peringkat dasarnya orang ramai akan berpendapat kita tolak belanjawan secara keseluruhan sedangkan ada kebaikan untuk rakyat.

Harus juga diingatkan isu moratorium dan beberapa perubahan, termasuk meluaskan pengeluaran Akaun 1 KWSP kepada semua pencarum yang terjejas pendapatan tahun ini adalah penting kepada rakyat yang memerlukan wang untuk meneruskan penghidupan.

Atas alasan ini saya mengatakan Anwar bagaikan Scofield dalam siri televisyen Prison Break. Bagaimanapun ia tidak menyamakan Anwar sebagai pernah dipenjarakan dengan watak Scofield sebagai banduan. Apa yang menarik dalam siri televisyen adalah pemikiran strategis watak Scofield dalam siri tersebut.

Anwar juga berkata dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Namun, Anwar berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Media semasa dalam liputan mereka meraikan kelulusan seolah-olah belanjawan 2020 secara keseluruhannya diluluskan. Hakikatnya Belanjawan 2021 belum diluluskan sepenuhnya.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hanya lulus di peringkat bacaan kedua atau di peringkat dasar. Proses selanjut perbahasan akan masuk peringkat Jawatankuasa mulai hari Isnin ini.

Kenapa belanjawan 2021 peringkat dasar harus diluluskan juga kerana menyokong perkara lain seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk pekerja barisan hadapan, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

Dalam hubungan ini pembangkang terutamanya PH mengikuti nasihat Yang Di-Pertuan Agong (YPDA) agar mahu gaji kakitangan awam dibayar, menyokong bantuan kepada golongan B40, tidak menyekat elaun hidup untuk petani dan nelayan.

Anwar berikrar akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Dalam menjelaskan tindakannya setelah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen PH, Anwar berkata gabungan itu tetap menentang belanjawan yang dibentangkan PN.

Tindakan pantas Anwar juga untuk mengelakkan isu jumlah sokongan ahli parlimen dimainkan. Misteri jumlah parlimen yang menyokongnya akan terjawab di peringkat pusingan ketiga nanti. Apa yang kita lihat Tun Dr Mahathir secara terbuka tidak mempunyai ramai sokongan daripada ahli parlimen.

Kumpulan besar pembangkang menyokong kelulusan belanjawan di peringkat dasar. Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah sokongan individu-individu tertentu dalam Umno kepada Anwar. Sejauh manakah ahli-ahli parlimen Umno menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri atau adakah mereka mengunakan Anwar untuk menggugut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memenuhi permintaan atau tuntutan mereka dalam belanjawan 2021 atau perkara-perkara lain di masa hadapan?

Langkah Scofield Anwar amatlah dipuji, tidak dapat hendak dibayangkan bagaimanakah rakyat akan mengenang Anwar dan PH jika di saat ratusan ribu rakyat memerlukan wang tersebut tetapi belanjawan di peringkat dasar ditolak.

Cukuplah dengan putaran kelulusan belanjawan dibingkaikan beritanya seolah-olah kelulusan belanjawan 2020 di peringkat dasar sebagai sesuatu yang muktamad dan kemenangan kepada PN dan pengukuhan kuasa kepada Muhyiddin.

Tentulah kegagalan belanjawan 2021 di peringkat dasar akan dipertanggungjawabkan kepada PH dan Anwar yang akan dituduh gila kuasa membelakangkan rakyat. DAP dituduh menderhaka kepada nasihat YDP. Sentimen kebencian rakyat kepada PH dan Anwar akan dimain dan dibesar-besarkan dan menjadi senjata progaganda pada pilihan raya akan datang.

Langkah Scofield Anwar bersandar anticipated thinking – kesannya adalah berjangka panjang. Anwar sudah nampak akan impak menentang kelulusan undi belah bahagi kepada beliau dan PH yang sekadar memenuhi pelan jangka pendek kerana ia tidak mencapai sasaran jangka panjang.

Anwar berkata “masih terlalu awal untuk merayakan berlebihan, walhal yang kita fikirkan ini buka soal kemenangan politik tetapi kemenangan rakyat dan kebajikan rakyat.”
————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Sumber:https://malaysiadateline.com/anwar-bagaikan-michael-scofield-dalam-prison-break/