Apa guna Jawatankuasa Khas jika Kabinet masih berfungsi – Salahuddin

Sekiranya Kabinet berfungsi seperti biasa, apakah masih ada keperluan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi Proklamasi Darurat, soal Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, banyak pihak juga keliru dengan pengisytiharan darurat itu kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menerangkannya dengan jelas.

Tambah beliau, Amanah juga masih kurang jelas dengan peranan jawatankuasa itu kerana sehingga kini masih tiada pertemuan dilakukan untuk menjelaskan fungsi jawatankuasa berkenaan.
“Sebab itu saya kata bahawa darurat ini, Perdana Menteri gagal untuk menjelaskan apa dia darurat yang sebenarnya.

“Kalau untuk setakat menggantung Parlimen dan DUN tetapi Kabinet masih berjalan seperti biasa, urusan lain mengikut apa yang ada sekarang, jadi apa perlunya darurat.

“Sebab itulah kita mempertikaikan caranya dapat darurat dan cara untuk laksanakan darurat kalau Kabinet dan yang lain berfungsi, apa guna jawatankuasa itu. Itu yang kita pertikaikan,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Tambah beliau, sebelum Amanah menyatakan persetujuan kepada jawatankuasa tersebut, ia perlu meneliti terlebih dahulu terma rujukan berkaitan jawatankuasa itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan pada Khamis berkata Ahli Parlimen PH dan pembangkang tidak perlu menyertai sebarang jawatankuasa yang dibentuk dari Proklamasi Darurat.

Ujarnya, tiada keperluan darurat seperti dicadangkan oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang sudah hilang bilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-politik/darurat-apa-guna-jawatankuasa-khas-jika-kabinet-masih-berfungsi-salahuddin-277978