‘Apa yang kau belajar di Mina wahai diri?’

Apa yang kau belajar di Mina wahai diri? Tanpa ragu aku menjawab, aku belajar syukur.

Mungkin ada yang kurang setuju. Bukankah kita belajar sabar di sana? Ya, Mina memang tempat yang paling menguji. Mencabar sabar semaksimumnya.

Di sini, kesesakan sudah jadi satu budaya. Panas membahang adalah satu yang perlu dibiasakan. Semuanya gara-gara penghawa dingin yang kerap semput ditambah panahan cahaya matahari yag sangat terik.

'Apa yang kau belajar di Mina wahai diri?'

Keadaan tambah menguji apabila berlaku kesesakan dalam khemah penginapan. Juga kemudahan tandas yang begitu terhad. Sedangkan penggunanya terlalu ramai.

Justeru, Mina ialah medan sabar bukan syukur. Kata setengah pihak.

Pendapat ini ada benarnya juga. Malah sangat benar. Sifat sabar perlu bila tubuh badan membahang bagai disalai. Ada ketikanya panas seperti mandi wap (sauna).

Bagi yang tidak biasa rasa panas keterlaluan, Mina memang meresahkan. Tidur tidak boleh, membaca tidak boleh…hanya mulut sahaja yang kumat-kamit berselawat dan berzikir.

Mina memaksa kita mengeluarkan seluruh potensi sabar kita ke tahap paling optimum. Perlu keluar habis!

Saya masih ingat, 2 hari yang lalu, ketika mula menjejak kaki ke Mina, saya mengurut dada, menarik nafas lega. Agak mudah kali ini, hati berbisik.

Keadaan Maktab 86 pada tahun ini jauh lebih baik berbanding apa yang saya lihat pada tahun 2015.

Tilam, walaupun masih kecil, tetapi lebih tebal sedikit dan ada sarungnya. Bantalnya begitu juga. Bersaiz mini dan comel.

Tandas? Alhamdulillah, lebih tersusun, lebih canggih, lengkap dengan pancur di atas dan paip berangkai di bawah.

Lantainya daripada bahan yang tidak licin dan ada sinki tempat membasuh muka dan menggosok gigi.

Kalau begini, saya yakin, ujian kali ini lebih ringan berbanding 2015 yang lalu. Masih saya ingat, betapa sukarnya pada tahun itu untuk tidur (samada siang atau malam) apabila suhu mencecah 45-50 darjah Celsius.

Pada tahun itu saya terpaksa merendam kain ihram agar basah keseluruhannya kemudian melilit di badan untuk rasa sejuk sedikit bagi membolehkan diri melelapkan mata di malam hari.

Keadaan tandas sangat daif menyebabkan saya mengambil langkah mengawal makan untuk mengawal pembuangan air. Hanya 3 hari bertahanlah, pujuk hati.

Itu cerita dulu…2015, sekarang 2023. Kini… terasa semacam lega. Mina lebih kondusif. Begitu, bisik hati saya pada awalnya.

Namun, tidak sangka… tanggapan itu berubah 180 darjah tidak sampai 2 jam pertama saya berada di Mina 2023.

Sekarang, apa yang terjadi?

Satu khemah terpaksa memuat lebih daripada kapisiti sepatutnya. Oleh itu, satu tilam bukan untuk satu orang, tetapi dua tilam untuk tiga orang.

Sudahlah saiz tilam ‘ngam-ngam’ muat satu orang. Kini dikecilkan lagi dengan ‘separuh orang’. Jadi, siapa yang tidur di sebelah ‘abang besar’, itu akan lebih mencabar!

Tandas pula bukan sahaja digunakan oleh tetamu Allah dari Malaysia, malah dihujani juga oleh Tetamu Allah dari China. Mereka datang dengan jumlah yang begitu ramai. Lalu berlakulah pertembungan budaya di tandas.

Masa menunggu untuk menggunakan tandas bertambah tiga kali ganda. Tiga empat malah lima orang menunggu giliran di hadapan satu tandas.

Dan paling menguji, bila pengguna wanita terpaksa menyeberang sempadan. Dengan berani mereka menggunakan tandas yang diperuntukan untuk lelaki. Tidak tahan lagi…mungkin itu mulanya, tetapi akhirnya sudah jadi biasa.

Semua itu telah memicu ketidak selesaan fizikal dan ketenangan hati. Ujian pun bermula. Semakin hari semakin menyesakan dada.

Saya sendiri hairan, sepatutnya saya semakin kuat bertahan… keadaaan makin mudah. Namun mengapa tidak begitu realitinya?

Kemudian barulah saya sedari. 2015 tahun yang lalu saya berusia 50’an. Masih bertenaga dan sihat. Sekarang sudah 60’an…tentulah tenaga dan upaya sudah menurun.

Jadi, tidak hairanlah, walaupun ujian tidaklah sebesar dulu, tetapi kekuatan menghadapi sudah tidak ada lagi.

Saya tinggalkan kerja penulisan untuk fokus sepenuhnya kepada tugasan mendekati jemaah. Mencari-cari hikmah untuk dikongsikan.

Sayangnya, perbualan saya selalunya tidak sampai…saya tidak pandai bercakap secara santai. Selalunya cara saya berbual terlalu serius dan fokus. Lalu saya tulis pesan-pesan ini…

Apa hikmah di sebalik semua ini wahai sahabat?

Akhirnya, marilah kuta ungkapkan rasa syukur…syukur sangat. Di sini, sabar dan syukur bercampur begitu sebati, sehingga sukar dipastikan lagi… syukur dan sabar itu satu atau terpisah?

Mari keceriaan kesah Juha (ulama Arab atau Turki, sealiran Abu Nawas). Satu watak dalam Satira yang sinis tapi mendidik. Juha, seorang ulama pendidik penuh hikmah.

Satu hari seorang petani mengadu rumahnya terlalu sempit.

“Rumah ku terlalu sempit!”

Juha menjawab, “mudah saja untuk luaskan rumah mu.”

“Bagaimana?”

“Kau ambil berapa ekor kambing mu, masukkan ke rumah dan tinggallah bersamanya.”

Setelah beberapa hari, petani mengadu lagi, ” rumah ku semakin sempit oleh kambing-kambing ku.”

“Sekarang masukkan pula beberapa ekor unta ke dalam rumah mu. Insya-Allah, rumah mu akan bertambah luas!”

Terakhir, petani datang lagi lalu berkata , “Juha, rumah ku semakin sempit oleh kehadiran kambing-kambing dan unta-unta ku.”

“Baik sekarang, keluarkan kambing-kambing dan unta-untamu dari rumah mu itu.”

Esok, petani tu datang, segera lalu berkata, “Alhamdulillah Juha, rumah ku sudah terasa semakin luas.”

Juha senyum, lalu berkata,”rumah mu telah diluaskan oleh syukur mu!”

Faham mesej tersirat di sebalik cerita ini?

Rasa syukur itu datang bila melihat orang di bawah kita. Kita susah, ada yang lebih susah. Kita sedih, ada yang lebih sedih daripada kita.

Mina mengajar erti syukur bagi hamba Allah yang melihat ke bawah. Lihatlah orang lain yang kurang memiliki nilai material dan fizikalnya.

Kau susah, ada orang lebih susah. Kau panas, ada orang yang lebih panas. Sebaliknya, jika melihat ke atas kau tudak akan puas… kau kata, ada yang lebih kaya. Kau selesa? Ada yang lebih selesa.

Temanku Tetamu Allah,

Di sini…sebungkus mee segera dan teh O dalam cawan kertas, sudah mampu membuat dirimuvmenikmatinya penuh rasa syukur sambil tersenyum bersama teman baru mu, para Tetamu Allah yang lain.

Sedangkan, di Tanah Air dulu, belum tentu sekeping steak wagyu dan segelas cappuccino yang berharga ratusan ringgit mampu memberi kegembiraan dan rasa syukur yang sama, seperti yang sedang nikmatinya kini.

Rupa-rupanya, kita disusahkan agar kita belajar erti syukur dengan nikmat yang sedikit. Mungkin kerana selama ini kita lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang banyak.

Sesungguhnya, rasa syukur anugerah Allah di daerah sempit, panas dan menyesakkan ini lebih mahal daripada harta sesetengah kita yang bertimbun-timbun itu.

Rasa syukur inilah akan menjemput datangnya barakah kepada rezeki kita. Sehingga dengan itu, jika rezeki itu sedikit… ia mencukupi. Jika banyak…kita boleh memberi.

Tanpa syukur, lunturlah barakah. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Kita meneguk dunia semacam menegur air laut… semakin diminum semakin tidak puas!

Di sini, kita diajar rasa kaya dalam kemiskinan. Untuk kita keluar dari belenggu miskin dalam kekayaan.

Aneh benar tarbiah Allah ini, dalam kesusahan bukan sahaja ada sabar tetapi ada syukur. Inilah syukur bila ditimpa ujian.

Sesungguhnya, kehilangan yang sementara mendidik hati kita agar mensyukuri apa yang sudah kita miliki selama ini.

Bila peluang ke Tanah Air nanti…Insya-Allah, kita akan lihat rumah akan menjadi semakin luas, makanan akan jadi lebih enak, ahli keluarga akan lebih kita sayangi…syukur. Itulah hadiah Allah di Mina.

Teman, maka Nikmat Allah yang mana lagi hendak kita dustakan?

BACA :

Menara kediaman tertinggi di dunia baru sahaja dilancarkan
Shuib kongsi gambar waktu remaja, ‘Inilah rumah yang mengajar saya erti hidup sebenar’
Peniaga kongsi rahsia cara buat bancuhan tepung pisang goreng yang rangup & banyak serdak