Aplikasi My Sejahtera kesan hampir 10,000 kes positif

Aplikasi My Sejahtera yang dibangunkan Kementerian kesihatan (KKM) dan dilancarkan pada 20 April lalu, membantu kementerian itu mengesan sebanyak 9,167 kes positif COVID-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, pengesanan kes positif COVID-19 melalui aplikasi itu dilaksanakan dengan dua kaedah.

Beliau berkata, kaedah pertama ialah penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna yang membolehkan kes COVID-19 dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap penyakit berkenaan mengikut kriteria dalam garis panduan KKM dan kaedah kedua membabitkan pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 1,561 kes (3.1 – 6.5 peratus) berjaya dikesan dan disahkan positif COVID-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri manakala sebanyak 7,606 kes COVID-19 (15.1 – 37.8 peratus) dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera.

“Secara puratanya, kes yang dikesan adalah 18.2 – 44.3 peratus dan peratusannya berubah dari semasa ke semasa kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera.

“Bagi tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan. Data ini akan dianalisis bersama-sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak.

“Data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In apabila rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/756060/mysejahtera-bantu-kkm-kesan-hampir-10000-kes-positif