Ayam goreng resepi khas dari Saiful dapat sambutan pelanggan

Ayam goreng resepi khas dari Saiful dapat sambutan pelanggan.

Nekad seorang lelaki meninggalkan kerjaya di ibu kota untuk pulang berniaga sejak lima tahun lalu, ternyata berbaloi apabila kini menjadi peniaga ayam goreng di kampung dengan pendapatan yang agak lumayan.

Bermula dengan modal RM60 bagi membeli empat ayam, kini, Saiful Ikhzan Saupi, 38, menggunakan lebih 50 ayam sehari untuk digoreng dan dijual di gerai miliknya di Kampung Batu 6, Jalan Sabak, Pengkalan Chepa, di sini.

Berpegang teguh kepada peribahasa, genggam bara api biar sampai jadi arang, Saiful tidak berputus asa mengolah resipi perapan ayam yang terbaik sehingga ayam goreng dijualnya mempunyai rasa tersendiri yang bukan sahaja menyelerakan tetapi rangup dan mendapat pujian ramai.

“Sebaik mendirikan rumah tangga dengan isteri, Nadia Atikah Kamarul Azhar, 28, saya membuat keputusan mencari kerja di Kelantan dan mengakui peluang agak sukar menyebabkan saya tampil berani untuk berniaga.

“Alhamdulillah, rezeki saya di sini, apabila kini jualan ayam goreng yang saya usahakan boleh dikatakan berjaya dan menjadi pendapatan utama untuk saya menyara keluarga termasuk seorang anak, Muhammad Rayyan Nail, 5.

“Bagaimana pun pelbagai onak dan duri terpaksa saya lalui sebelum mencapai tahap ini terutama dalam mencari resipi sendiri bagi memastikan ayam goreng jualan saya sentiasa mendapat permintaan pelanggan,” katanya yang kini mempunyai seorang pekerja selain turut dibantu ahli keluarga.

Saiful atau lebih dikenali sebagai ‘poknik ayam goreng’ mengakui dia mengambil masa selama sebulan dalam mencari resipi terbaik bagi memastikan ayam goreng dijualnya berkualiti tinggi dan sedap.

Ayam goreng di gerainya juga menjadi pilihan kerana harga yang murah iaitu serendah RM1 sehingga RM1.50 sahaja seketul bergantung kepada bahagian ayam kerana dia turut mempelbagaikan jualan bukan sahaja pada isi ayam tetapi juga kulit, hati dan kaki ayam.

“Saya bersyukur kerana perniagaan saya semakin baik, selain mendapat banyak tempahan seperti daripada pihak sekolah dan agensi kerajaan yang mahu menjadikan ayam goreng sebagai satu menu jamuan yang mereka adakan.

“Selain itu, semua kerja saya lakukan sendiri termasuk membeli, memotong ayam, membuat perapan sehinggalah proses menggoreng. Bagi saya, kalau nak berjaya dalam perniagaan makanan, kita sendiri perlu mahir dengan apa yang kita jual dan baru lah boleh kekal lama.

“Melihat kepada permintaan semasa, tidak mustahil untuk saya terus menjadi peniaga ayam goreng selain berharap agar suatu hari nanti ia terus berkembang sehingga ‘ayam goreng Pok Nik’ milik saya mampu membuka cawangan di seluruh Kelantan,” katanya.

Saiful berkata, gerainya dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 11 pagi sehingga 7 malam dan jualanya itu turut dipromosikan di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Katanya, pelanggan yang datang bukan sahaja penduduk tempatan malah dari luar kawasan termasuk dari negeri lain kerana gerainya yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini.

Beliau turut menasihatkan anak muda supaya berani mencuba sesuatu termasuk berniaga memandangkan peluang pekerjaan yang agak sukar tetapi setiap apa yang dibuat perlu dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

BACA JUGA:

Jatuh bangun Malaysia terletak di tangan ahli parlimen

Bumbung beranda runtuh tiba-tiba, dua kenderaan rosak

PMX nyatakan Malaysia sedia bantu Turkiey dalam lebih banyak kapasiti