Banjir Johor: Enam daerah masih terjejas

Banjir Johor: Enam daerah masih terjejas. Enam daerah di negeri ini masih terjejas akibat banjir dengan seramai 45,218 mangsa daripada 12,781 ķeluarga masih ditempatkan di 174 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding seramai 43,856 mangsa yang ditempatkan di PPS, setakat pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, Batu Pahat kekal paling terjejas dengan seramai 38,134 mangsa.

“Ini diikuti daerah Muar dengan 3,661 mangsa, Tangkak (2,073), Segamat (1,045), Mersing (219) dan Kluang (86).

“Daerah Kulai, Johor Bahru, Pontian dan Kota Tinggi yang sebelum ini turut terjejas telah kembali pulih apabila kesemua PPS yang dibuka di daerah berkenaan ditutup sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan tiada sebarang amaran hujan berterusan dikeluarkan di seluruh negeri ini membabitkan kesemua 10 daerah.

Sebanyak sembilan sungai di dua daerah masih diletakkan bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Muar, Sungai Bekok, Sungai dan Sungai Sembrong.

Sebanyak 28 laluan dan susur di seluruh negeri ini masih ditutup untuk semua jenis kenderaan.

BACA JUGA:

Duduki peperiksaan SPM pada 16 hingga 22 Mac bagi calon terkesan banjir dan positif COVID-19

Muhyiddin dakwa serangan politik untuk takutkan PN

Kes 1MDB: Roger Ng dipenjara 10 tahun