Bekas calon PRU ditahan miliki, edar ketamin

Seorang bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ditahan polis selepas disyaki memiliki dan mengedar dadah jenis cecair ketamin di Fraser Business Park, Pudu, di sini, kelmarin.

Lelaki itu yang juga pernah bertanding jawatan naib ketua pemuda sebuah parti politik tahun lalu, ditahan jam 1.45 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, selepas dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata hasil pemeriksaan polis menemui bungkusan putih tertera logo sebuah syarikat penghantaran barang yang mengandungi cecair disyaki dadah ketamin dianggarkan seberat 400 milileter (ml).

 

“Susulan soal siasat ke atasnya polis kemudian melakukan serbuan ke sebuah unit kediaman di Jalan Duta Suria 8, Ampang, pada jam 7.30 petang hari yang sama sehingga membawa kepada penemuan sejumlah lagi dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dadah yang ditemui di kediaman berkenaan adalah sembilan batang pokok ganja dianggarkan bernilai RM4,500, daun kering disyaki ganja dianggar bernilai RM3,000 serta cecair dadah disyaki ketamin dan THC yang dianggar bernilai RM53,100.

Saiful Azly berkata, polis turut menahan isteri suspek berusia 34 tahun dan seorang wanita warga Filipina pembantu rumah suspek.

“Difahamkan suspek menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran ganja dan ketamin sebelum menjualnya pada harga RM300 sebotol.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari ini, manakala isteri dan pembantu rumah mereka direman di Mahkamah Ampang,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/01/778856/bekas-calon-pru-ditahan-miliki-edar-ketamin