Bersatu Terengganu Cadang ADUN PAS Dilantik MB Perak

Bersatu Terengganu mencadangkan agar ADUN PAS dilantik Menteri Besar Perak yang baharu sebagai langkah menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Shafie berkata, ia adalah langkah terbaik bagi mengekalkan teraju Perikatan Nasional dan mengukuhkan Muafakat Nasional di Perak.

“Calon MB Perak. ADUN PAS adalah pilihan terbaik bagi kekalkan PN dan kukuhkan MN”, katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Terengganu di facebooknya, semalam

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1006512459834367&id=100014268665451

PAS mempunyai 3 ADUN di Perak iaitu YB Razman Zakaria (Gunung Semanggol), YB Akmal Kamaruddin (Selama) dan YB Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Semalam, Speaker DUN Perak, Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan keputusan undi sulit terhadap usul undi percaya kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyaksikan ADUN Chenderiang itu hanya menerima 10 undi menyokong, sementara 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Dalam laporan Berita Harian semalam, Ahmad Faizal berkata beliau tidak akan mengusulkan pembubaran DUN apabila menghadap Sultan Perak bagi menyembah maklum kedudukan semasa kerajaan negeri Perak.

“Saya perlu akur dan beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku pilih sebagai menteri besar,” katanya dalam laporan itu.

Sumber:https://www.terengganureport.com/2020/12/bersatu-terengganu-cadang-adun-pas.html