Bow Wow terima padah, dikecam warganet gara-gara konsert

Penyanyi rap, Bow Wow, 33, dikecam teruk selepas mengadakan konsert di sebuah kelab meskipun keadaan pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) masih kritikal.

Menerusi sebuah sedutan video, kelab terbabit sangat padat dengan orang ramai yang tidak memakai pelitup hidung dan mulut, malah berseronok pada konsert berkenaan.

Selepas sedutan video terbabit tersebar, penyanyi Shortie Like Mine itu dibanjiri kecaman warganet menerusi Twitter yang rata-rata mengutuk tindakan tidak bertanggungjawabnya.

Penyanyi terbabit yang pernah meledak sekitar awal 2000 dengan nama Lil Bow Wow semakin tenggelam kebelakangan ini. Dengan insiden terbaru itu, kredibilitinya juga semakin menjunam jatuh.

Selepas namanya hangat diperbualkan, Bow Wow cuba mempertahankan tindakannya di Twitter dengan ciapan sinis. Bagaimanapun, dia memadam ciapan itu tidak lama kemudian.

Menurutnya, dia cuma membuka pelitup hidung dan mulutnya sewaktu membuat persembahan. Bahkan, dia memakai cecair nyahkuman setiap masa.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/2021/01/665066/bow-wow-terima-padah-dikecam-warganet-gara-gara-konsert