Bursa Malaysia terus rancak untuk hari kelima

Dagangan di Bursa Malaysia terus rancak untuk hari kelima berturut-turut dengan indeks utama meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan hari ini, dipacu oleh momentum belian yang kukuh terutama membabitkan kaunter berkaitan perbankan.

Selain daripada itu, prestasi menggalakkan ini berlaku di celah-celah sentimen positif terhadap perkembangan vaksin untuk COVID-19, kata peniaga.

Pada penutup, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 50.75 mata atau 3.33 peratus untuk mengakhiri urus niaga pada paras tinggi seharian 1,575.07 berbanding 1,524.32 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer memulakan urus niaga dalam zon negatif tetapi bangkit semula selepas lima minit diniagakan. Pada satu ketika, indeks itu berlegar ke paras serendah 1,516.54.

 

Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 747 berbalas 609 manakala 444 kaunter tidak berubah, 348 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 12.33 bilion unit bernilai RM8.45 bilion daripada 11.71 bilion unit bernilai RM4.62 bilion semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata kaunter perbankan meningkat selepas lanjutan moratorium secara keseluruhan tidak diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan ini amat melegakan untuk pendapatan bank.

“Dengan harapan untuk vaksin (COVID-19) semakin tinggi, pemulihan ekonomi akan menjuruskan kepada kurangnya pinjaman tidak berbayar dan rosot nilai bagi bank,” kata beliau kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter perbankan berwajaran tinggi, Public Bank meningkat RM1.90 kepada RM17.20, Maybank naik 54 sen kepada RM7.66, Hong Leong Bank mengukuh RM1.48 kepada RM16.18, CIMB naik 32 sen kepada RM3.38, dan RHB Bank mengembang 47 sen hingga RM4.85.

Keuntungan yang diraih oleh kaunter-kaunter ini menyumbang 44.44 mata kepada kenaikan di indeks komposit.

Seiring dengan pembelian rancak dalam sektor ini, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 1,020.23 mata untuk mengakhiri hari urus niaga pada 13,287.5.

Trend menaik di Bursa juga sejajar dengan prestasi rakan serantau yang lain, didorong oleh sentimen daripada data positif percubaan klinikal vaksin COVID-19 berskala besar dengan kadar 90 peratus keberkesanan yang dimajukan oleh gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer Inc dan rakannya, BioNTech SE.

Berikutan perkembangan positif ini, Adam berkata kaunter berkaitan pelancongan seperti Malaysia Airports, AirAsia Group dan AirAsia X, kesemuanya meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus kerana perkhabaran mengenai vaksin ini memberi harapan kepada sektor pelancongan untuk bangkit semula.

Mengikut sektor, beliau berkata indeks Tenaga Bursa Malaysia melonjak 8.0 peratus hari ini, menjadikannya sektor paling untung kerana kejayaan dalam membangunkan vaksin bermakna permintaan untuk minyak mentah boleh meningkat, didorong oleh lebih banyak kegiatan perindustrian.

Sebaliknya, kaunter sarung tangan jatuh teruk dengan Top Glove kerugian lapan peratus kepada RM7.80 dan Hartalega menyusut 13.8 peratus kepada RM15.70.

Saham berwajaran tinggi lain, Tenaga naik 94 sen kepada RM11.20 dan Petronas Chemicals mengukuh 38 sen kepada RM6.75.

Dalam kalangan saham paling cergas, AT Systematization turun 2.5 sen kepada 19 sen, AirAsia X naik 2.5 sen kepada 6.5 sen, Kanger susut setengah sen kepada 18.5 sen, sementara Sapura Energy menambah setengah sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 270.84 mata pada 11,311.03, Indeks FBMT 100 menambah 279.85 mata kepada 11,112.59, dan FBM 70 mengukuh 60.05 mata kepada 14,549.09.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah turun 40.15 mata kepada 13,292.76 dan FBM ACE berkurangan 328.81 mata kepada 11,046.36.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 3.06 mata kepada 154.31 dan Indeks Perladangan meningkat 58.86 mata kepada 7,207.59.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.14 bilion saham bernilai RM6.98 bilion daripada 4.17 bilion saham bernilai RM3.05 bilion pada hari Isnin.

Perolehan waran meningkat kepada 1.28 bilion unit bernilai RM249.05 juta daripada 892.38 juta unit bernilai RM191.05 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 4.91 bilion saham bernilai RM1.22 bilion berbanding 6.64 bilion saham bernilai RM1.38 bilion sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 1.64 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.4 bilion), pembinaan (175.81 juta), teknologi (215.3 juta), SPAC (sifarl), perkhidmatan kewangan (224.47 juta), harta tanah ( 573.91 juta), perladangan (142.67 juta), REIT (28.32 juta), dana tertutup (53.000), tenaga (1.15 bilion), penjagaan kesihatan (319.28 juta), telekomunikasi dan media (46.24 juta), pengangkutan dan logistik (131.65 juta) dan utiliti (96.44 juta).

Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2020/11/752713/bursa-malaysia-melonjak-lebih-50-mata