Cawangan parti politik di kampus diharap tidak rosakkan budaya ilmu

Cawangan parti politik di kampus diharap tidak rosakkan budaya ilmu.

SIKAP terbuka Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap isu penubuhan cawangan parti politik di kampus seperti jawapan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Parlimen, minggu lalu, pastinya disambut baik kebanyakan ahli politik.

Ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) pada waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat itu, Mohamed Khaled berkata, KPT tidak menolak kemungkinan memberikan kelonggaran itu kerana pelbagai pindaan sudah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 meliputi pelbagai aspek seperti kegiatan pelajar dan urus tadbir universiti.

Secara umumnya dalam sokongan ahli politik terhadap kelonggaran itu berdasarkan tiga hujah. Pertama, mereka melihatnya sebagai langkah baik untuk penyuburan amalan demokrasi dan politik matang dalam kalangan mahasiswa, selaras kelayakan umur mengundi pada usia 18 tahun.

Kedua, ada antara mereka melihat proses ini sebahagian proses pendidikan politik yang boleh mendedahkan mahasiswa dengan amalan politik kepartian nasional, manakala ketiga, mereka tidak menganggap cadangan penubuhan cawangan parti politik di kampus akan memberi kesan kepada pembelajaran mahasiswa kerana golongan itu sudah matang serta mampu memahami peranan parti politik.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak diterima sebulat suara oleh mahasiswa kerana beberapa persatuan mahasiswa universiti awam (UA) menolaknya dengan dua alasan utama, iaitu pertama akan merosakkan amalan demokrasi politik kampus sedia ada terutama pilihan raya kampus dan Parlimen Mahasiswa.

Mereka bimbang pilihan raya kampus akan menjadi medan perlawanan antara parti politik nasional agresif, manakala orientasi kesatuan mahasiswa akan cenderung untuk didominasi parti politik, sekali gus melemahkan idealisme kesatuan mahasiswa.

Hujah kedua pula berpaksi kepada kebimbangan akan berlaku indoktrinasi ideologi politik kepartian nasional dan pengaruh budaya politik kotor seperti fitnah, fanatik serta kronisme yang biasa berlaku dalam parti politik. Ia rentetan daripada suasana politik nasional kebelakangan ini yang dilihat sering berhadapan krisis politik nilai dan isu integriti.

Bagaimanapun, ada juga kumpulan mahasiswa menyambut baik cadangan itu kerana berpendapat ia peluang pendedahan politik kepada golongan itu, selain boleh mengasah kemahiran mereka sebagai pembuat keputusan.

*Jejas keharmonian warga kampus*

Namun, mereka berpendapat jika cadangan itu dilaksanakan, ia memerlukan kajian menyeluruh dan panduan lengkap disediakan supaya tidak menimbulkan perkara boleh menjejaskan keharmonian warga kampus dan peranan universiti sebagai gedung ilmu.

Polemik kewajaran penubuhan cawangan parti politik di universiti ini berkait rapat dengan polemik mengenai AUKU perlu dikekalkan atau dimansuhkan yang turut hangat diperkatakan.

Secara asasnya, kedua-dua perkara ini berkisar kepada aktiviti politik di kampus. Umumnya, ramai melihat politik kampus daripada perspektif tertentu, iaitu politik kampus perlu disemarakkan dengan kerangka politik kepartian nasional.

Sejarah aktivisme politik mahasiswa di negara ini sebelum adanya AUKU dan perkembangan politik belia di negara lain seperti di Indonesia misalnya membuktikan bagaimana mahasiswa mampu menghasilkan gerakan politik memberi kesan besar kepada pembangunan politik.

Ini sering menjadi sandaran hujah pihak tertentu mengapa mahasiswa perlu diberi lebih banyak peluang dan kebebasan berpolitik secara partisan di universiti, termasuk cadangan memberi lebih banyak ruang kepada parti politik nasional untuk ‘berada’ di kampus.

Bagaimanapun, dalam tempoh pelaksanaan AUKU lebih lima dekad, ia sebenarnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkembangan politik kampus dan suasana persekitaran aktiviti mahasiswa.

Lebih penting, tanpa sedar batasan aktiviti politik menerusi pelaksanaan AUKU juga memberi kesan kepada proses pemahaman makna politik dan aktiviti politik dalam kalangan mahasiswa.

Istilah ‘politik’ sering disalah erti oleh mahasiswa kerana AUKU sebelum pindaan 2019 membataskan aktiviti politik kampus dan mereka lebih memahami politik dalam konteks politik kepartian, sekali gus tidak memahaminya dalam konteks lebih luas dan praktikal.

Ini ditambah dengan retorik nasional dan masyarakat umum yang sering menyatakan politik itu kotor menyebabkan mereka kurang minat bukan hanya kepada penyertaan politik di kampus seperti mengundi dan berpersatuan, bahkan sikap peduli terhadap perkembangan semasa politik.

Berdasarkan pemerhatian di universiti dan hasil kajian lapangan saya serta rakan penyelidik, pemahaman mahasiswa mengenai politik masih perlu disuburkan menerusi gabungan pendidikan politik secara formal dan tidak formal, terutama dalam konteks peranan mereka sebagai warganegara dalam sistem negara demokrasi.

Walaupun aktiviti politik persatuan mahasiswa di universiti semakin berkembang, mereka yang terbabit dan benar-benar faham mengenai politik serta kepentingan penyertaan politik hanya mewakili sebahagian mahasiswa.

Sehubungan itu, cadangan penubuhan cawangan parti politik di kampus masih belum sesuai dilaksanakan kerana ia perlu diperhalusi secara menyeluruh dan pastinya mengambil kira pandangan seluruh warga universiti dan pemegang taruh institusi ini.

Dalam hal ini, amat penting untuk mengenal pasti implikasi cadangan itu kepada proses dan aktiviti pembelajaran serta peranan mahasiswa dari sudut intelektualisme dan profesionalisme.

Ini supaya peranan universiti sebagai institusi untuk membugarkan budaya ilmu tidak disalah guna dan tersasar daripada landasannya. Penyertaan politik mahasiswa di kampus memang penting untuk membentuk pemimpin masa hadapan, namun pemerkasaan penyertaan tidak seharusnya terbatas kepada jenis aktiviti dan pembabitan dengan parti politik sahaja, sebaliknya memberi perhatian kepada penyuburan pengetahuan nilai politik bersih dan beretika.

BACA JUGA:

Penyertaan GP, doktor kontrak digalakkan bagi jayakan pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan

Banjir di Johor dijangka pulih dalam waktu sebulan lagi

Mesyuarat Pemuda UMNO Titiwangsa digantung akibat lebihan kertas undi ketika pendaftaran