Darurat untuk selamatkan kerajaan yang sudah jatuh?

Kurang dua puluh empat jam selepas pengumuman perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diadakan petang semalam, Perdana Menteri hari ini telah mengejutkan rakyat Malaysia sekali lagi dengan pengumuman Proklamasi Darurat.

Pengumuman ini sekali gus telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam benak fikiran rakyat. Selepas beberapa hari kita mendengar gesaan sesetengah pihak yang menginginkan Pilihan Raya Umum (PRU-15) dilakukan dalam masa terdekat, akhirnya keputusan dibuat oleh kerajaan Muhyiddin untuk tidak melakukan sebarang pilihan raya dalam masa terdekat demi untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 melalui pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Namun, persoalan baru pula timbul iaitu adakah tindakan permohonan Proklamasi Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kali ini hanya didorong oleh pertimbangan kesihatan awam untuk memerangi Covid-19 sahaja?

Mgid

Sakit sendi akan hilang sekali dan selamanya
KETAHUI LANJUT!→

Atau mungkin kah kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin goyah dengan penarikan sokongan daripada seorang demi seorang pemimpin Umno terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Walaupun alasan yang diberikan Muhyiddin untuk perintah darurat adalah untuk menangani tuntutan pilihan raya awal, sebenarnya secara tidak langsung ianya telah menunjukkan bahawa Muhyiddin sendiri telah mengakui bahawa kerajaannya sudah jatuh dan tidak mempunyai sokongan majoriti lagi.

Umum mengetahui bahawa hanya parti Umno sahaja yang sibuk menggesa agar PRU-15 dijalankan dalam masa terdekat setelah pandemik Covid-19 reda.

Semua parti politik lain termasuk pembangkang PH menentang tuntutan untuk pilihan raya awal. Perkara ini juga telah dketengahkan oleh beberapa ahli parlimen dan pemimpin politik pembangkang.

Berdasarkan kenyataan bersama oleh empat belas orang Ahli Parlimen pembangkang, mereka telah menempelak gesaan yang cuba untuk mendesak agar PRU dilakukan semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19.

“Negara ini perlu segera dirawat dan masa untuk merawatnya adalah sekarang!”, tegas Ahli-ahli Parlimen Pembangkang.

Ditambah pula dengan bencana banjir yang baru bermula sehingga menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, sememangnya permintaan PRU adalah sangat tidak masuk akal.

Rata-rata komen dari netizen menganggap pengumuman darurat hari ini sebagai ‘Darurat Politik’ yang bertujuan untuk menghentikan seketika permainan politik sempit oleh menteri dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab ini.

Ada yang berpendapat bahawa sudah mencukupi untuk kerajaan PN melaksanakan PKP sepertimana yang pernah dilakukan mereka pada Mac tahun lepas.

Seperti dibuktikan pada PKP pertama tahun lepas, undang-undang Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah cukup kuat untuk segala kerja mengawal Covid tanpa pengisytiharan darurat dan menggantung Parlimen.

Pengisytiharan darurat hari ini sekali gus meyakinkan persepsi rakyat bahawa kerajaan PN hanya mahu mengekalkan kuasa politik mereka yang semakin goyah dan bukannya atas kepentingan rakyat.

Sumber:Malaysiadateline