Dimaklumkan tiada pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai – MB

Kerajaan negeri memaklumkan tiada sebarang aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai berikutan kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya dimaklumkan kejadian banjir kilat di Hutan Simpan Gunung Jerai adalah disebabkan fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai.

“Sebagaimana sedia maklum, berlaku musibah banjir kilat petang tadi di kawasan persekitaran Hutan Simpan Gunung Jerai.

“Untuk makluman, tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana hutan simpan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhammad Sanusi menjelaskan, fenomena kepala air yang terlalu kuat menyebabkan pokok sekitar hutan simpan turut dibawa arus deras sehingga ke sungai.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang tadi, tiga kakitangan Jerai Hill Resort terselamat, manakala seorang lagi masih hilang selepas terperangkap dalam kejadian fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai.

Kejadian kepala air itu turut mengakibatkan banjir kilat sekitar kampung di kaki gunung di Yan dan Merbok dengan lebih 20 rumah penduduk dilaporkan rosak.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/852968/tiada-aktiviti-pembalakan-di-hutan-simpan-gunung-jerai