Edar ganja, Yasin Sulaiman bakal dikenakan hukuman mati

Edar ganja, Yasin Sulaiman bakal dikenakan hukuman mati.Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman ,47, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa mengedar ganja dengan anggaran berat 214 gram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pada pukul 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan.

Terdahulu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin, Yasin mengaku tidak bersalah atas petuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah merah yang mana daripadanya kanabis (ganja) yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala Yasin diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Pada 21 Mac lalu, Kosmo! Online melaporkan polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini.

Penahanan dibuat terhadap suspek yang berusia 47 tahun pukul 5.30 petang itu bertindak atas maklumat dan risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM10,700 dan hasil pemeriksaan lanjut di bahagian sebelah dapur menjumpai satu almari dan di dalamnya terdapat tiga pokok disyaki pokok ganja.

Pemeriksaan di dalam bilik pertama menjumpai 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja selain satu pokok tumbuhan sama di balkoni.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC. Suspek terlibat penagihan dadah lebih kurang 10 tahun dan menanam pokok ganja selama dua bulan.

TONTON :

BACA:

Kecoh pekerja bengkel ‘lenjan’ kereta pelanggan hingga enjin rosak

Kantoi..rupanya hanya marketing murahan isu pelajar kena sisih sebab beg ‘smiggle’

MP dari Sarawak umum keluar parti