Ekonomi Malaysia dijangka pulih semula

Ekonomi Malaysia dijangka pulih semula.

Malaysia dijangka pulih semula dengan kukuh daripada kelembapan global disokong oleh pertumbuhan progresif ekonomi domestik serta unjuran prestasi ekonomi dunia yang meyakinkan pasca pandemik, kata seorang pengurus dana.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara Principal Malaysia, Munirah Khairuddin, berkata tempoh tiga tahun lepas menyaksikan banyak perubahan dalam landskap global termasuk ketegangan geopolitik, perubahan kerajaan di dunia dan pasaran kewangan yang tidak menentu yang memberi tekanan kewangan kepada ramai orang termasuk rakyat Malaysia.

“Walaupun kita optimis dengan pertumbuhan ekonomi, kita masih lagi berhati-hati dengan konflik global sekarang dan kemungkinan memuncaknya perang Russia-Ukraine serta kadar inflasi di negara ini,” katanya.

Munirah berkata, walaupun kebimbangan terhadap kemelesetan masih wujud, namun tempoh sukar nampaknya sudah berakhir kerana majoriti pasaran mula menunjukkan petanda lantunan semula ekonomi yang kukuh dipacu oleh pembukaan semula ekonomi China.

“Pembukaan semula ekonomi China akan menyemarakkan pemulihan ekonomi terbesar di Asia itu dan yang kedua terbesar di dunia.

“Peluang menunggu di Asia, terutamanya dalam sektor boleh diperbaharui dan pelancongan, selagi negara terus memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

“Meskipun Malaysia dijangka kekal mengalami pasaran tidak menentu terutamanya bagi ekuiti yang disebabkan ketidaktentuan global, namun negara dijangka terus mendapat daya tarikan kerana pasaran berada di bawah nilai,” katanya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan FDI berjumlah RM392.9 bilion antara 2018 dan 2021, yang mana RM300.5 bilion atau 76.5 peratus telah direalisasikan pada akhir 2021, manakala pelaburan utama dimeterai pada 2022, termasuklah dengan Samsung dan AMD.

Dari segi prospek pasaran tempatan, Munirah berkata dengan keadaan politik yang stabil semula selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), risiko telah berkurangan dan keyakinan pelabur kembali semula.

“Mengenai hala tuju dasar, yang akan menjadi lebih jelas selepas pembentangan Belanjawan 2023, kami difahamkan bahawa kerajaan akan meneruskan pelan konsolidasi fiskal secara berperingkat tanpa mengkompromikan perbelanjaan pembangunan, dan pada masa yang sama memberikan tahap subsidi yang munasabah dan bentuk bantuan lain kepada orang ramai.

“Kami juga menjangka Malaysia akan bergerak seiring dengan peralihan positif dalam sentimen pelabur susulan pengenduran langkah-langkah monetari dan pembukaan semula ekonomi China,” katanya.

Belanjawan 2023 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini dan dijangka menumpukan kepada merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di samping melindungi kebajikan rakyat.

BACA JUGA:

Terung Bakar Santan yang mudah dan sedap… Boleh bertambah nasi kalua makan ni

Mesti ramai Wanita suka ketap peniti di bibir sebelum bertudung kan? Akibatnya wanita ini tertelan jarum tanpa sengaja

Jangan membazir beli ‘cat litter’ mahal-mahal, DIY je! Harga pun tak sampai RM10 untu si bulus membuang