Gempar !!! Mukhriz dedah motif sebenar Perdana Menteri mahukan darurat?

Saya telah baca dan faham maksud saman pemula dan afidavit sokongan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya oleh peguam, Syed Iskandar bin Syed Jaafar terhadap Kerajaan Malaysia pada 28 Oktober, 2020. Saman tersebut tampak pelik dan menimbulkan banyak persoalan. Saya harap pihak peguam tersebut dan Kerajaan Malaysia selaku defendan dapat beri penjelasan.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin diiringi sebilangan Menteri dan Pegawaipegawai Tinggi Kerajaan, termasuk Peguam Negara telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 23 Oktober, 2020. Tujuannya ialah untuk “menasihati” Seri Paduka Baginda supaya mengisytiharkan darurat ke atas seluruh negara. Alasan yang dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda ialah bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Memandangkan nasihat ini mengundang implikasi yang sangat berat terhadap rakyat jelata, maka Seri Paduka Baginda telah membuat keputusan yang tepat untuk bermusyawarah dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sebelum berkenan mengumumkan sebarang ketetapan.

Dari dua kenyataan media yang menyusul pada 25 Oktober 2020, ternyata bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia RajaRaja Melayu menganggap permintaan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri itu sebagai satu perkara serius. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu memperhalusi alasan-alasan yang dipersembahkan sebelum menyampaikan pendapat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pengisytiharan darurat bagi seluruh negara memang wajar difikirkan sedalam-dalamnya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu kerana semua negeri di bawah naungan Duli Baginda sekalian, selain yang di bawah naungan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan turut diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, mungkin turut ditimbang ialah pandemik COVID-19 yang digunakan sebagai alasan untuk mewajarkan darurat diisytiharkan. Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong tidak memperkenankan alasan tersebut kerana Baginda berpendapat pentadbiran Kerajaan telah berjaya mengawal penularannya. Walaupun dikatakan bahawa negara berdepan dengan Gelombang Ketiga wabak ini, secara relatifnya keadaan di Malaysia tidak seteruk banyak negara yang lain.

Oleh itu, apakah motif sebenar Perdana Menteri mahukan darurat? Daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin, terbukti beliau tidak menikmati sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat yang melayakkan ke atasnya jawatan Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Barangkali, beliau dan Jemaah Menteri berasa resah dengan kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak dalam Parlimen. Ini akan menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional tumbang dan Tan Sri Muhyiddin digugurkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Rata-rata di benak fikiran ramai, inilah sebab sebenar Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin beriya-iya supaya darurat diisytiharkan. Bagaimanapun, hasrat ini tidak tercapai kerana “nasihat” itu ditolak oleh Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

 

Antara pegawai tinggi Kerajaan yang mengiringi Perdana Menteri menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengesyorkan pengisytiharan darurat ialah Peguam Negara. Peguam Negara dipertanggungjawabkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Seri Paduka Baginda dan Kerajaan dalam perkara berkaitan undang-undang, dan sudah tentu beliau terlibat secara langsung mengenai pengisytiharan tersebut.

Yang peliknya, saman pemula yang difailkan oleh Syed Iskandar menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal. Tiada pihak lain yang dinamakan sebagai defendan. Sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan, tentunya Peguam Negara akan mewakili Kerajaan untuk menjawab soalan yang ditimbulkan oleh saman tersebut.

Tidakkah ini merupakan konflik kepentingan? Mana mungkin Peguam Negara yang menyediakan hujah bagi mewajarkan darurat diisytiharkan kini mempertahankan di mahkamah keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak pengisytiharan itu?

Saman pemula yang difailkan itu mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak “nasihat” Perdana Menteri dalam soal pengisytiharan darurat. Saman itu mendakwa bahawa Seri Paduka Baginda tiada pilihan selain menerima bulat-bulat nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Walhal penularan wabak COVID-19 tidak boleh diterima sebagai alasan dan Tan Sri Muhyiddin serta Perikatan Nasional hanya mengharapkan darurat bagi menjamin kedudukan mereka di dalam Kerajaan.

Oleh sebab keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk menolak pengisytiharan darurat itu dibuat untuk menyelamatkan Rakyat dari sebarang unsur penyalahgunaan kuasa, maka saya berpendapat Rakyat pula perlu menyokong penuh keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu. Rakyat perlu menolak apajua tindakan untuk mempertikaikan keputusan tersebut. Saman pemula yang difailkan oleh Syed Iskandar tidak patut dilayan; kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak “nasihat” Perdana Menteri mengenai darurat mestilah dianggap sah. Tan Sri Muhyiddin pula perlu menghentikan segala usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dengan menggunakan darurat.

Dato’ Seri Utama Haji Mukriz Tun Mahathir
Presiden Penaja PEJUANG
Dikeluarkan di Kuala Lumpur