Gempar!!! Skandal kebajikan kanak-kanak, kerajaan Belanda letak jawatan

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte meletak jawatan selepas ribuan keluarga dikenakan tuduhan palsu terbabit penipuan kebajikan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Belanda memutuskan ramai keluarga menderita akibat kejadian itu dengan pegawai percukaian, ahli politik, hakim dan kakitangan awam turut menyebabkan mereka tertekan.

Ramai yang terkesan itu berlatarbelakangkan keluarga pendatang, dan kejadian itu mengakibatkan ratusan orang terbelenggu masalah kewangan.

BBC melaporkan, Rutte menyerahkan peletakan jawatan Kabinet kepada rajanya.

“Orang yang tidak berdosa dilayan seperti penjenayah dan hidup mereka musnah,” katanya kepada pemberita.

Beliau menambah, Kabinet bertanggungjawab bagi kejadian itu.

Keputusan ‘sebulat suara’ itu hasil mesyuarat Kabinet di The Hague berlaku ketika pandemik Covid-19 turut membelenggu negara itu.

Netherlands dikenakan perintah kawalan pergerakan malah menteri mempertimbangkan tindakan lebih tegas untuk mengekang penularan virus berkenaan.

Kerajaan itu akan meneruskan peranan sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya pada Mac ini, tetapi Menteri Ekonomi Eric Wiebes meletak jawatan serta-merta kerana peranannya dalam skandal itu.

The Guardian melaporkan, lebih 20,000 keluarga didakwa melakukan penipuan di mahkamah dan diarahkan membayar semula wang bantuan anak-anak mereka selain tidak dibenarkan merayu terhadap keputusan itu dalam tempoh beberapa tahun selepas 2012.

Ada antara mereka menjadi bankrap atau terpaksa berpindah akibat tuntutan melampau membabitkan puluhan ribu euro, sedangkan kes hanya membabitkan kesilapan kecil contohnya mengisi borang yang salah atau tidak dilengkapi tandatangan.

Kerajaan telah meminta maaf atas kejadian itu dan pada Mac tahun lalu menguntukkan lebih 500 juta euro sebagai pampasan, iaitu kira-kira 30,000 euro bagi setiap keluarga.

Ini bukan kali pertama kerajaan Belanda meletak jawatan beramai-ramai sebagai tanda menerima tanggungjawab bersama.

Pada 2002, Kabinet ketika itu meletak jawatan selepas laporan mengkritik menteri dan tentera gagal menghalang pembunuhan beramai-ramai orang Islam di Srebrenica ketika perang Bosnia, tujuh tahun sebelumnya.

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/dunia/2021/01/15/skandal-kebajikan-kanak-kanak-kerajaan-belanda-letak-jawatan/