Gesaan untuk kerajaan menutup Matrade

Dengan angka Covid-19 terus meningkat, PKP yang berterusan dan kerumitan dalam melawan pandemik yang tiada penghujung, situasi sekarang ini banyak berkisar pada kesihatan, pergerakan, dan ekonomi semasa yang pada pandangan umum semakin berkecamuk.

Ditambah dengan pengisytiharan darurat seminggu lalu, saya ingin menarik perhatian pembaca terhadap isu-isu besar yang dijangka akan memberi banyak tekanan dan juga kesan negatif ke arah pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Seperti yang ramai maklum, polisi semasa terkini tidak banyak membantu penjanaan dan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan dari luar negara.

Bagaimana mungkin? Untuk masuk Malaysia juga tidak dibenarkan, apa lagi untuk menjadikan Malaysia “my second home (MM2H)”, satu instrumen yang begitu popular sebelum tibanya Covid-19, tapi kini terbengkalai dan terus terlalai, meskipun dulunya instrumen ini banyak membawa aliran pelaburan masuk kepada negara.

Ramai pengusaha dan pemilik yang mempunyai kilang, hartanah, firma, dan bermacam cabang dan dana perniagaan yang kebetulan berada di luar Malaysia ketika Covid-19 bermula, masih tidak dapat kembali ke sini.

Dengan adanya PKP 2.0, ini tidak membantu mereka yang terlibat dan tidak adanya haluan atau arah tuju hampir 12 bulan daripada pihak berkuasa, bererti banyak kilang atau perniagaan yang sedia ada, mungkin tidak lagi akan beroperasi, jauh sekali untuk merencanakan sesuatu kilang atau perniagaan yang baru.

Ekonomi, pelabur asing & tempatan

Sebenarnya, sama ada sebelum atau selepas Covid-19, Malaysia tidak lagi menjadi tumpuan pelabur asing seperti 15 atau 20 tahun dahulu. Gayanya, negara kita seperti retak menunggu belah.

Selain dari MM2H yang meningkatkan pemodal asing masuk, Malaysia telah hilang daya tarikan untuk menerima pelaburan. Tidak ada lagi sektor-sektor perkilangan, pembuatan, atau hartanah yang menarik dari kaca mata pelabur luar.

Pihak berkuasa seperti MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) ataupun Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), yang mempunyai banyak pejabat di serata dunia termasuk 10 lokasi di Eropah, tidak lagi berjaya dan mampu untuk membawa masuk pelaburan asing.

Kalau dulu banyak pelabur datang untuk membuka kilang-kilang bertaraf perintis dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, tetapi kini rencana mereka ialah bagaimana untuk berpindah dari Malaysia ke negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, atau India.

Isu utama sekarang ialah Malaysia tidak lagi mempunyai pekerja tempatan. Kita terpaksa mengimpot pekerja asing untuk bekerja di kilang-kilang dan pusat perniagaan milik asing dan juga pemilik tempatan. Isu ini paling tidak menarik bagi ramai pelabur, terutama bagi mereka yang belum pernah melabur di sini sebelum ini.

Ini membawa kita kepada satu persoalan yang agak menarik.

Bagaimana pula dengan pelabur tempatan? Apakah pula insentif-insentif yang diberikan pihak berkuasa kepada mereka jika dibandingkan dengan pelabur asing?

Ternyata, setelah agensi-agensi kita gagal menarik pelabur asing dengan tidak ada polisi dan instrumen yang lebih menarik lagi, mungkin sudah sampai masanya untuk kerajaan menukar strategi untuk membantu lebih ramai pelabur tempatan.

Dengan memberi galakan kepada pengusaha tempatan dan bukannya pelabur asing, strategi ini mungkin membolehkan rakyat tempatan yang mempunyai modal dan kepakaran untuk membuka lebih banyak kilang dan perniagaan baharu. Juga kerana pasaran domestik telah banyak bertambah.

Ada yang menyoal, apakah dengan melantik anak perempuan kepada bekas timbalan perdana menteri untuk menjadi ahli lembaga SME Corp (satu badan induk untuk pengilang dan pembuat barangan kecil dan sederhana) boleh membantu ke arah ini?

Jawapannya sekali-kali tidak.

Kita memerlukan cadangan yang lebih mendalam tentang banyak perkara; lokasi dan tapak tanah misalnya. Prasarana yang bagus dan kadar elektrik yang rendah. Kos pembinaan juga memerlukan pinjaman yang sekarang agak sukar walaupun dikatakan oleh pihak MoF (Kementerian Kewangan) bahawa ‘banking sector’ kita mempunyai aliran rezab tunai yang tinggi. Tetapi mereka takut untuk memberi pinjaman kecuali mendapat tanggungan atau ‘guarantee’ dari pihak kerajaan atau SJPP (Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan).

Kerajaan semestinya memberi tumpuan kepada pihak pelabur swasta tempatan supaya mereka dibantu dari segi modal, kelulusan tapak, prasarana, elektrik dan air, pembinaan kilang dan peralatan, serta status perintis (dengan pengecualian cukai) sepertimana yang banyak diberi kepada pengusaha asing sebelum ini.

Polisi sokongan dan galakan ini banyak berkait rapat dengan kilang-kilang tanpa lesen yang didirikan di sekitar sungai dan bandar-bandar kecil di Selangor dan Johor.

Lihat sahaja industri pembuatan sarung tangan, misalnya. Apakah bantuan yang kerajaan berikan kepada mereka sebelum ini?

Mungkin tidak ada tetapi secara kebetulan Covid-19 datang dan permintaan untuk sarung tangan getah dari seluruh dunia meningkat. Ini secara kebetulan, bukan dirancang.

Pemilik kilang-kilang ini, majoritinya pemilik tempatan, masih terus menjadikan Malaysia sebagai pusat produksi mereka walaupun kos produksi di sini jauh lebih tinggi daripada di negara jiran. Juga, mereka terpaksa mengimpot bahan-bahan pembuatan dari luar negara sebanyak lebih 80%.

Mereka juga terpaksa melalui pelbagai dugaan dalam menangani masalah pekerja dan terpaksa mematuhi syarat-syarat ketat dari pihak berkuasa mengenai pembinaan kilang dan pengambilan pekerja asing.

Banyak kekurangan dan tekanan dalaman yang terpaksa ditanggung dalam menggendalikan perniagaan mereka. Tetapi kerana mereka ini rakyat Malaysia, jadi terpaksalah mereka harungi segala macam dugaan dan pelbagai masalah.

Pokoknya, tidak seperti pelabur asing, pelabur tempatan tidak melihat Malaysia sebagai negara yang tidak sesuai untuk melabur. Cuma polisi dan instrumen sekarang tidak memihak kepada mereka.

Walaupun terdapat kekurangan tenaga mahir di tanah air sendiri, kos produksi yang tinggi dengan pekerja asing yang terpaksa diimpot dan peluang-peluang baharu di negara lain seperti Thailand, Indonesia, India, dan Vietnam yang jauh lebih menarik, mereka percaya polisi dan instrumen sekarang boleh bertukar menjadi lebih positif.

Pekerja asing

Ianya satu-satu isu maha besar yang nampaknya tidak dapat ditangani dengan cekap dalam jangka waktu yang singkat dan terdekat ini.

Ramai yang berfikir dan tidak mengerti, kenapa kerajaan masih melindungi mereka-mereka yang terlibat dengan skim impot pekerja asing secara bersekala terutamanya dari Bangladesh?

Kenapa pihak yang terlibat tidak disiasat, didakwa dan dibawa ke muka pengadilan? Kenapa isu ini tidak dihalusi dan ditangani dengan wajar, bijak, dan tidak memihak?

Seharusnya ekonomi industri tidak sepatutnya dikuasai oleh segelintir ahli politik. Kenapa mereka diberi peluang untuk menjadi monopoli bagi mengimpot pekerja asing?

Jawapannya jelas terletak pada bahu pihak berkuasa iaitu kerajaan hari ini. Bukan kerajaan dahulu atau akan datang.

Bukankah di waktu darurat seperti ini masa yang paling sesuai oleh pihak berkuasa untuk menilai semula polisi dan instrumen masa lalu yang memberi banyak kuasa monopoli kepada golongan elit politik?

Inilah masa yang sesuai untuk merangka suatu ketetapan yang lebih adil dan saksama bagi setiap pelabur, pemilik, pekerja, dan pembeli. Perkara ini menjadi tunggak kepada pembentukan dan pertumbuhan kepada industri perkilangan negara.

Kuasa mengimpot pekerja asing ini menjadi tiang utama yang tidak membantu ekonomi dan perkembangan industri pembuatan negara sekiranya tidak dibetulkan dalam kadar segera dan dalam masa terdekat.

Isu pekerja asing ini jelas banyak memberi unsur negatif kepada negara dan bukan saja di mata pelabur asing, malah di mata pelabur tempatan juga.

Ternyata badan-badan dan agensi yang terlibat tidak menzahirkan isu ini kepada kerajaan. Dalam hal ini MITI seharusnya lebih bertanggungjawab.

Tanggungjawab ini harus dilaksanakan dengan menyediakan suatu kertas Kabinet untuk menutup semua pejabat Matrade di seluruh dunia kerana fungsi yang terkandung dalam agensi berkaitan sudah hilang sama sekali dalam keadaan dan situasi sekarang.

Kerajaan harus mengambil sikap lebih berani dan bertindak tegas terhadap pembaziran yang akan dibelanjakan oleh MITI dan Matrade dalam Belanjawan 2021 dan menyalurkannya ke arah meningkatkan dan menyokong pelaburan tempatan.

Apabila Matrade ditutup, tugas ini boleh diambil alih dan dipikul oleh pihak kedutaan luar negara yang juga berjawatan pesuruhjaya perdagangan.

Lagi pun, kita juga sudah ada duta khas bertaraf menteri untuk Timur Tengah, yang antara lain tugasnya ialah juga untuk menarik pelabur asing.

Sumber: FMT