Hampir empat tahun keluarga ini hidup tanpa elektrik

Hampir empat tahun keluarga ini hidup tanpa elektrik.

Tujuh sekeluarga di Kampung Baru, di sini, memohon bantuan orang ramai untuk membeli sebuah generator bagi memasang lampu pada waktu malam, berikutan sudah hampir empat tahun tiada bekalan elektrik.

Bekalan elektrik di rumah Rusmawaty Rusdy, 35, dipotong apabila keluarga itu tidak mampu membayar bil yang tertunggak yang mencecah ribuan ringgit.

Di sebabkan rumah mereka terletak di atas tanah rizab sungai, penyambungan semula elektrik tidak boleh dilakukan walaupun jumlah tunggakan dibayar.

Menurut Rusmawaty, dia bersama suami, Mohd Soffian Mohd Rosni, 41, serta lima anak berusia antara dua hingga 14 tahun hidup tanpa bekalan elektrik sudah hampir empat tahun.

Katanya, setiap hari pada waktu malam suaminya yang hanya melakukan kerja-kerja kampung dan pendapatan tidak menentu akan menyalakan lampu LED menggunakan bateri kereta yang hanya sekadar menerangi ruang tamu.

“Lampu LED ini pun dipasang hanya sekejap sahaja dan mampu bertahan hanya beberapa jam. Kami tujuh beranak tidur bergelap setiap malam.

“Apabila anak perlu menyiapkan kerja sekolah, mereka akan melakukannya pada siang hari.

“Jadi kami sangat berharap sekiranya ada pihak yang sudi membantu untuk membeli sebuah generator supaya dapat kami memasang lampu pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Baru, di sini.

Terdahulu Rusmawaty dikunjungi wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) Myfundaction bagi menyampaikan sumbangan makanan asas.

Rusmawaty berkata, sebagai ibu bapa mereka juga ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak.

“Tetapi kami tidak mampu menyewa rumah yang lebih baik, hanya bersyukur dengan rumah yang sedia ada.

“Untuk memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kami risau tidak mampu membayar komitmen bulanan,” katanya.

BACA JUGA:

Sesi persekolahan Januari seperti dulu, ambil masa beberapa tahun lagi untuk laksanakan semula

Isteri PM Singapura menyatakan Malaysia sudah tentu berbangga dengan Michelle Yeoh

Banjir Johor: Jumlah mangsa semakin menurun