Hangat !!! Hasrat Safawi Rasid dalam Liga Primeira Portugal semakin kabur

Hasrat peminat bola sepak negara untuk melihat penampilan pertama Safawi Rasid dalam Liga Primeira Portugal tidak kesampaian apabila bintang skuad Harimau Malaya itu hanya memanaskan bangku simpanan Portimonense SC.

Safawi yang disenaraikan dalam skuad untuk pertemuan ketujuh liga menentang FC Porto di Stadium Dragao hanya mampu menonton aksi rakan sepasukan yang berkesudahan Portimonense tewas 1-3.

Begitupun, ia pasti memberi pengalaman berharga buat Safawi sebelum bersedia diturunkan oleh pengurus pasukan, Paulo Sergio untuk aksi berikutnya.

Aksi berintensiti tinggi nyata menghiasi aksi kedua-dua pasukan dengan gerakan pantas dan siri serangan yang kemas terutamanya dari FC Porto cukup menghiburkan.

Bagaimanapun, Portimonense terlebih dulu berada di depan apabila larikan dari tengah padang oleh Anderson Oliveira berjaya membuka ruang kepada Fahd Moufi untuk melakukan hantaran silang cantik yang tepat menemui kepala Beto pada minit ke-14.

Gol itu jelas mengejutkan kem tuan rumah yang kemudian melancarkan beberapa serangan ke kubu pelawat.

Porto yang menjuarai Liga Primeira musim lalu akhirnya mengikat kedudukan 1-1 pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan Chancel Mbemba yang memanfaatkan sepakan sudut.

Bersambung babak kedua, Porto tidak menunggu lama untuk meraih gol kedua hasil percubaan penyerang gantian, Mehdi Taremi seminit selepas aksi disambung.

Tuan rumah menambah derita pelawat dan kali ini giliran Sergio Olivei pada minit ke-88 untuk menamatkan aksi dengan 3-1 di mana kejayaan mengutip tiga mata itu menyaksikan Porto melonjak ke tangga ketiga dengan 13 mata daripada tujuh aksi.

Portimonense pula mengisi tempat tercorot daripada 18 pasukan dengan hanya empat mata dan kini berdepan penyingkiran sekiranya tidak memperbaiki kedudukan dalam aksi seterusnya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/639677/safawi-kempunan-lagi