Hanya Dewan Rakyat yang mulia, segelintir ahlinya tidak!

Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2020) bermula pada 2 November lalu, dan dijangka berakhir pada 17 Disember nanti.

Sebagaimana mesyuarat sebelumnya, ia dikendalikan oleh Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun dengan bantuan timbalan-timbalan beliau, Dato’ Sri Azalina Othman Said, dan Dato’ Mohd Rashid Hasnon (Hasnon dilantik mulai 16 Julai 2018, iaitu setelah dua bulan Pakatan Harapan mentadbir negara).

Kekecohan dan hiruk-pikuk semasa persidangan Dewan Rakyat memang lumrah. Itu seolah-olah menjadi budaya, dengan perdebatan, perbalahan, bertikam lidah, melontarkan kata-kata kesat, dan cabar-mencabar.
Ekoran kenaikan kes Covid-19 yang menakutkan, prosedur operasi standard (SOP) persidangan Dewan Rakyat yang baharu dimaktubkan.

Antara SOP yang dikuatkuasakan mulai 9 November itu ialah menghadkan jumlah ahli Parlimen dalam sidang, iaitu hanya 80 sahaja – 41 dari Perikatan Nasional (PN), 31 Pakatan Harapan (PH), dan lapan lagi Bebas.
Walau bagaimanapun, kekecohan timbul apabila pelaksanaannya dimulakan pada 6 November, iaitu hari pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Dimaklumi kes harian wabak pandemik turun naik.

Mempercepat SOP itu dipertikai, terutama oleh pembangkang. Kenapa tiba-tiba, kata mereka, pada 6 November yang ada peristiwa penting negara, peraturan menghadkan jumlah Ahli Parlimen itu bermula.
Lantaran desakan yang dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Yang Dipertua Dewan Rakyat membenarkan semua ahli Parlimen memenuhi dewan, pembentangan Belanjawan 2021 bermula lewat setengah jam.

Desakan Anwar yang mengatakan tempoh pembentangan hanya kira-kira dua jam, disokong oleh beberapa Ahli Parlimen PN, seperti Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Dato’ Sri Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) dengan alasan Yang Dipertua berkuasa memberi kebenaran, ketika itu. Akhirnya, Azhar bersetuju membenarkan.
Selepas itu, episod-episod persidangan Dewan Rakyat semakin panas. Selain tindak-tanduk Azhar dan timbalan-timbalannya yang tidak memuaskan hati, seperti cepat beremosi hingga (Azhar) beberapa kali ditegur/kritik oleh Anwar, serta berat sebelah, dan double standard, sikap beberapa Ahli Parlimen PN juga menimbulkan ketegangan, dan membuang masa persidangan.

Kelakuan mereka memalu dan menjijikkan hingga dianggap mencemari kemuliaan Dewan Rakyat. Ada yang mengatakan hanya dewan itu yang mulia, sedangkan mereka tidak!

Pada 11 November, Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing dikecam hebat kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiong semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021, mendakwa Hisham ‘takut mati’ kerana tidak ‘turun padang’ ke Sabah untuk melakukan pengawasan penularan Covid-19 di sana.

Presiden Parti Demokratik Progresif itu bertanya adakah Hisham ‘takut mati’, kerana hanya mengadakan sidang media, dan membaca teks yang telah disediakan. Katanya, itu kerja mudah yang boleh dilakukan oleh budak pejabat!

Tanpa melatah, Hisham dalam jawapannya ketika sidang media harian Covid-19, pada petang hari yang sama, menegaskan tidak timbul soal ‘takut mati’ kerana katanya sambil memetik maksud sepotong ayat al-Quran, “Setiap yang hidup pasti mati”, dan istilah popular, ‘Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali’.

Di mana-mana pun, tegas Hisham, kita semua akan mati, tanpa mengira tempat, dan sebab. Hisham sebenarnya bersama-sama timbalan beliau, Datuk Dr Rohaizat Yon (yang kembali dari persaraan) telah membuat tinjauan di Sabah sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah, malah sekembali dari sana, beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah kerana ada kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kenyataan Tiong membangkitkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen PH dari DAP hingga ada yang diarahkan keluar dari Dewan Rakyat oleh Azalina, dan Azhar.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diusir oleh Azalina pada 11 November, sementara Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dihalau oleh Azhar keesokannya, dan digantung lima hari kerana enggan menarik balik gelaran bodoh’ kepada Azalina, lantaran membiarkan Tiong.

Sehingga kini Tiong belum memohon maaf di Dewan Rakyat. Rayer kerap mempertikai pemimpin Gabungan Parti Sarawak itu yang katanya ‘terus hilang dari dewan’.

Tiong hanya meminta maaf dalam kenyataan media tiga perenggan pada 15 November. Beliau memohon kemaafan untuk memastikan kelancaran perjalanan sidang Dewan Rakyat, dan demi kepentingan serta keharmonian negara.
Menurut Tiong, beliau tidak berniat menafikan sumbangan barisan hadapan, tetapi cuma mahu membahaskan usaha membendung Covid-19 yang lebih berkesan.

Namun demikian, permohonan maaf Tiong itu boleh dianggap terlambat kerana masa persidangan telah dibazirkan, dan selepas ramai yang mengecam beliau.

Dimaafkan walaupun telah membuat kesilapan besar juga dikesali. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada 30 November telah melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya ketika menghitung jumlah undian RUU Perbekalan Kementerian Kewangan (Belanjawan 2021).

Meskipun undian itu dimenangi PN, tetapi yang dipertikai ialah bagaimana kesilapan besar boleh berlaku. Isu itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad kepada Rashid, dan Timbalan Yang Dipertua itu mengumumkannya kepada para Ahli Parlimen pada 1 Disember.

Tidak hairanlah jika itu menimbulkan bantahan. Ramai Ahli Parlimen PH membantah, termasuk Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Shabudin telah tersilap menandakan Dato’ Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai menyokong RUU Perbekalan Kementerian Kewangan, meskipun Ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak hadir semasa undian belah bahagi tersebut.

Mohamad yang juga Presiden Amanah menempelak dengan mengatakan Shabudin tidak boleh sewenang-wenang membuat andaian Nazri turut menyokong hanya kerana beliau melihat kelibatnya sebelum pengundian. Yang dikira ialah semasa hadir di dalam Dewan Rakyat, bukan berada di kantin Parlimen, misalnya.

Ekoran insiden tersebut, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau telah memfailkan satu usul untuk merujuk Shabudin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan agar tindakan dapat diambil.

Walau bagaimanapun, usul untuk merujuk Shabudin kepada jawatankuasa itu telah ditolak pada 3 Disember, kerana beliau mengakui kesilapannya, dan memohon maaf. Mudahnya. Semua kesalahan, walaupun besar, boleh diampunkan dengan hanya memohon maaf!

Seperti tidak cukup dengan itu, berlaku pula insiden yang lebih mengejut, dan memalukan. Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin didakwa menunjukkan isyarat lucah di Dewan Rakyat pada 1 Disember lalu.
Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I dikatakan menunjukkan jari tengahnya kepada hampir 10 Ahli Parlimen PH.

Ekoran perlakuan itu, persidangan Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH sebelum undian belah bahagi.

Rayer misalnya bangkit meminta Azhar mengarahkan Willie memohon maaf. Sebelum itu Azhar menamatkan sesi penggulungan Willie, dan ketika perbahasan sedang berjalan kemudiannya, Willie didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Ahli Parlimen PH.

Tegas Rayer, itu memang menghina, terutamanya kepada ahli Parlimen wanita. Beliau meminta Azhar tidak menganggapnya sebagai jenaka.

Walau bagaimanapun, Bung Mokhtar mencelah dan mengatakan beliau tidak nampak perlakuan tersebut.
Tindak-tanduk Azhar menimbulkan kehairanan. Beliau seperti berdolak-dalik antara membuat keputusan dengan tidak. Apa yang cuba dipertahan olehnya?

Pada 2 Disember di Dewan Rakyat, Azhar mengatakan beliau tidak nampak (mengaku ada masalah penglihatan) Willie menunjukkan isyarat lucah itu.

Justeru, ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berhubung tindakan terhadap perkara itu, Azhar mengatakan beliau belum membuat keputusan (kerana masalah penglihatan).

Menurut Azhar, hasil pertemuan dengan Willie, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu menafikan sekeras-kerasnya berkelakuan lucah. Azhar juga menegaskan beliau telah beberapa kali menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV), termasuk dalam gerak perlahan, tetapi gagal memastikan ia benar-benar berlaku, atau hanya fitnah. Itulah keputusan yang dibuat oleh beliau ketika menjawab usul yang dikemuka oleh Fahmi.

Azhar meminta sesiapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang didakwa itu untuk memfailkan usul kepada jawatankuasa Parlimen agar Willie dapat memberikan penjelasan.

Ketika ada yang meminta rakaman CCTV ditayangkan, Azhar mengatakan beliau sudah menonton rakaman itu, tetapi masih tidak dapat memastikannya, atas alasan tidak jelas. Tidak jelas atau kerana mata beliau bermasalah?
Khoo kemudian meminta izin ke pejabat Azhar untuk menunjukkan video yang ‘amat terang’. Azhar tiada masalah asalkan selepas persidangan.

Anehnya, ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew, Azhar menegaskan beliau telah membuat keputusan, dan tidak memerlukan keterangan saksi. Beliau mengatakan sedemikian walaupun Yee Kew mengaku paling jelas melihat perlakuan Willie itu.

Justeru, Lip Eng meminta Azhar menggunakan keterangan saksi kejadian, dan tidak bergantung semata-mata kepada bukti CCTV seperti yang dilaksanakan di mahkamah.

Azhar menolak dengan alasan mahu melihat terlebih dahulu video daripada Khoo. Beliau juga menolak cadangan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin agar rakaman CCTV itu ditayangkan semula di Dewan Rakyat.
Aneh serta mencurigakan penolakan itu kerana tayangan semula boleh dilihat oleh semua ahli Parlimen dengan penuh perhatian. Itu lebih adil.

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.

Sumber:https://malaysiadateline.com/hanya-dewan-rakyat-yang-mulia-segelintir-ahlinya-tidak/