Hidup kita lebih bermakna jika

Pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) perlu menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat bagi meneruskan kehidupan seharian mereka.

Bagaimanapun, sekiranya pemindahan buah pinggang dapat dilakukan, rawatan ini mampu menawarkan kualiti hidup yang lebih baik dan berupaya memanjangkan jangka hayat pesakit ini.

Setiap tahun, jumlah pesakit ESKD di negara ini terus meningkat. Menurut laporan Malaysian Dialysis dan Transplant Registry 2018, seramai 45,937 pesakit buah pinggang peringkat akhir di negara ini dan jumlah ini dijangkakan akan terus meningkat kepada 106,000 menjelang 2040.

 

Menurut laporan ini juga, seramai 39,593 pesakit menjalani rawatan hemodialisis, 4,543 pesakit menjalani rawatan peritoneal dialisis dan 1,801 telah menjalani pemindahan buah pinggang.

Ini bermakna hanya segelintir (3.9 peratus) daripada pesakit ESKD yang menjalani pemindahan buah pinggang.

Rawatan terbaik pesakit ESKD

Pemindahan buah pinggang adalah proses pembedahan untuk menempatkan buah pinggang yang sihat bagi mengambil alih fungsi buah pinggang yang telah rosak.

Bagi mereka yang sesuai untuk menjalani pembedahan ini, pemindahan buah pinggang adalah rawatan yang terbaik untuk pesakit ESKD, berbanding dengan rawatan dialisis, pemindahan buah pinggang dikaitkan dengan peningkatan jangka hayat, kualiti hidup yang lebih baik dan pengurangan kos rawatan kesihatan.

Menurut Pakar Nefrologi (Visiting) Pusat Perubatan Sunway, Dr Rosnawati Yahya, terdapat dua kategori penderma buah pinggang, iaitu penderma kadaverik (iaitu penderma selepas kematian) dan penderma hidup.

Kadar penderma buah pinggang

Di Malaysia, kadar pemindahan buah pinggang di Malaysia pada ketika ini adalah tiga pemindahan untuk setiap juta penduduk (pmp).

Kadar ini sangat rendah berbanding dengan kadar di negara lain seperti Sepanyol di mana kadar pemindahan buah pinggang berada di tahap 62 pemindahan untuk setiap juta penduduk dan Thailand di mana kadar pemindahan buah pinggang berada di tahap sembilan untuk setiap juta penduduk.

Oleh itu, puratawaktu menunggu untuk memperoleh buah pinggang dari penderma kadaverik untuk pesakit dewasa adalah selama 12.5 tahun.

Jumlah sedia menderma masih rendah

Kekangan utama dalam kadar pemindahan buah pinggang yang sangat rendah ini adalah kekurangan organ daripada penderma kadaverik dan juga penderma hidup.

Kadar pendermaan organ semasa ini tidak dapat memenuhi tuntutan yang terus meningkat.

Di antara faktor yang menyebabkan kadar pendermaan kadaverik yang rendah di Malaysia adalah kekurangan kesedaran dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Banyak insiden individu berikrar untuk menderma organ, tetapi selepas meninggal dunia, ahli keluarga pula tidak memberi persetujuan,” katanya.

Memandangkan kadar pendermaan daripada penderma kadaverik rendah danwaktu menunggu yang lama di Malaysia, penderma yang masih hidup adalah alternatif utama sumber buah pinggang.

Penderma yang masih hidup

Di Malaysia, 80 peratus sumber buah pinggang adalah daripada penderma yang masih hidup.

Terdapat beberapa pusat yang menjalankan rawatan pemindahan buah pinggang dari penderma hidup iaitu, di bawah Kementerian Kesihatan (Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang), di bawah Kementerian Pendidikan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan beberapa hospital swasta (Pusat Perubatan Sunway dan lain-lain).

Selain itu, pemindahan buah pinggang daripada penderma kadaverik hanya dijalankan di hospital kerajaan.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2020/11/756573/peluang-hidup-lebih-bermakna