Industri hiburan bukan berisiko jika ikut SOP kata Shirazdeen Karim

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim terkilan apabila beberapa program dalam industri seni dianggap sebagai aktiviti berisiko sedangkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) boleh diguna pakai sama seperti industri lain.

Shizardeen yang aktif menganjurkan konsert berkata, apa yang berlaku sedikit-sebanyak membantutkan perkembangan industri seni tanah air untuk bangkit semula selepas terkesan akibat krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Kenapa ramai yang mempertikai dan menentang apabila program-program dan acara hiburan ingin dihidupkan semula. Bagi saya, ini tidak adil. Baru-baru ini, apabila Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dianjurkan, ramai yang menentang dan menulis kecaman. Ia langsung tak masuk akal kerana penganjuran acara itu mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.

Seperti yang dilaporkan Harian Metro baru-baru ini, Shiraz Projects yang menjadi penerbit serta pengurus acara bertaraf dunia membatalkan 25 konsert yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

“Kami juga terpaksa membatalkan 25 konsert dan kalau boleh, kami ingin bangkit semula, sekali gus menggerakkan ekosistem industri seni kita yang terkesan.

“Kerana itulah pihak Shiraz Projects merancang untuk mengadakan konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang dijangka akan berlangsung 15 Januari tahun depan. Jadi, kami berharap penganjuran konsert dengan mengikut SOP ditetapkan akan dibenarkan,” katanya.

Seperti yang dimaklumkan Shirazdeen, ekosistem industri hiburan bukan sahaja membabitkan penganjur acara, tetapi juga banyak pihak seperti artis, kru, dan banyak lagi.

Konsert terakhir yang dianjur dan diterbitkan oleh Shiraz Projects adalah pada 4 Januari lalu dan kini sudah hampir setahun tidak menjana pendapatan kerana Covid-19.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/2020/11/644005/industri-hiburan-bukan-berisiko-jika-ikut-sop