Ini pesan suami yang terakhir, ‘Makan elok-elok. Abang nak pergi makan kat Seberang Jaya ni tau’

Pesan Terakhir

“Makan elok-elok. Abang nak pergi makan kat Seberang Jaya ni tau.”

Ini pesan suami yang terakhir, yang saya ingat dalam perbualan di telefon sebelum masuk maghrib semalam.

Ini pesan suami yang terakhir, 'Makan elok-elok. Abang nak pergi makan kat Seberang Jaya ni tau'

Hinggalah saya rebahkan diri di sisi katil, saya angkat telefon dan mengerling pada skrin, 10.10 pm.

‘Eh kenapa dia tak call? Kejap lagi kot.’

Saya tarik selimut, baca apa yang patut.

Secara zahirnya, sayalah pelindung utama anak-anak ketika suami di Penang mencari rezeki buat kami.

Segala doa pelindung saya cari dan amalkan.

Umar lagi beberapa minggu masuk 4 tahun, masih panggil hantu itu ‘hutan’.

Saya tak berniat untuk betulkan perkataan yang betul. ‘Hutan’ bunyinya lebih selamat didengar oleh si penakut macam saya.

‘4.30 am’

Jam yang dikunci berbunyi. Setia setiap pagi, tak pernah mengkhianati.

Saya semak telefon kot-kot ada missed call yang saya tak perasan.

Kosong. Semak wasap suami, yang terakhir, jam 6.26 ptg.

Okey waktu ini sangat mustahil untuk bertenang. Jantung mula laju.

Dalam berteka-teki apa yang tak kena, berhempas pulas menepis fikir-fikir buruk yang pasti akan burukkan lagi keadaan.

Masuk jam 5 pagi, saya call. Kebiasannya waktu begini, dia akan angkat paling lambat, pada panggilan kedua.

Saya yakin berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini.

Sekali dial, tak berangkat. Saya cuba lagi sehingga operator memutuskan harapan.

5 kali masih tak berangkat.

Waktu ini, badan saya terus bergetar. Tangan saya menggigil.

‘Ya Allah, apa jadi kat dia? Ya Allah tolong aku Ya Allah. Ya Allah ya Alim, kat mana Fitry?’

Saya tertunduk sambil menekup mulut.

Hopeless. Ya, itulah apa yang saya rasa ketika itu.

Saya yang sudah lengkap bertelekung sepatutnya boleh terus solat dan berdoa, tapi tak mampu.

Tak mampu nak alihkan fikiran daripada kekusutan memikirkan suami, yang nyatanya hal duniawi. Allahu.

Sedangkan yang Maha Menguruskan segalanya, ada ditangan-Nya.

Hingga sempat terfikir, kalaulah apa-apa jadi,

Siapa nak peluk aku kalau tengah sedih?

Siapa lagi nak genggam tangan aku bila aku duduk?

Siapa nak pujuk aku duduk di sebelah kalau aku penat?

Ya Allah…..

Silap juga, tak pernah ambil nombor orang yang terdekat dengan suami di sana.

Saya capai telefon kembali, terus saya semak komen-komen di facebook suami.

‘Bismillah. Tolong aku Ya Allah Ya Zahir’.

Jarang-jarang sekali doa disebut penuh harapan. Penuh kehambaan. Kali ini lain.

Kali ini Allah izinkan untuk kembali kepada fitrah manusia. Kerdil dan tak berdaya.

Sambil menyelongkar komen-komen, sambil nama-nama Allah yang sesuai diratibkan tak habis.

Jumpa nama yang paling saya familiar. Nama yang dia pernah sebut-sebut.

Saya terus ‘pm’ beliau di facebook.

Syukur, Allah izinkan untuk beliau baca pada waktu jarang-jarang sekali orang berjaga, dan beri nombor telefon kawan serumah suami di sana.

Saya terus hubungi nombor tersebut.

“Saya tak ada di rumah. Nanti saya cuba hubungi ‘housemate’ yang lain ya.”

Syukur sekali lagi. Moga-moga Allah murahkan rezeki mereka yang sanggup memudahkan urusan orang lain.

Saya letak telefon dan kembali berdiri di sejadah.

‘Okey bertenang. Semua akan okey.’

Tak. Tak okey. Saya tinggalkan semula sejadah.

Saya capai telefon yang telah diletakkan jauh atas kabinet TV supaya tidak mengganggu.

cuba dial sekali lagi.

Dalam 2 saat menunggu, ada orang jawab panggilan. Suara tersekat-sekat. Dia cuba betulkan suara.

“Sorry… abang penat sangat. Abang tertidur.”

Masa itu juga, berhamburan airmata saya hingga tak mampu nak jawab apa-apa.

Kali akhir saya nangis begitu, pada bulan-bulan pertama ketiadaan arwah mak dulu.

Bukan tak pernah, pernah juga suami tertidur tanpa kami bercakap sebelum tidur di telefon.

Tapi kali ini lain.

Sebab…

Saya masih terluka. Saya masih rasa ditinggalkan. Ada masanya, masih rasa pedih kehilangan arwah mak.

Masih. Dan rasa itu masih kekal.

Mereka yang kata, rindu nanti akan terubat dengan masa.

Mereka salah.

Rindu pada orang yang kita sayang, umpama ombak. Ia pergi, kemudian ia datang.

Adakala, ia datang menghempas lebih kuat daripada sebelum-sebelumnya.

Hingga tak berdaya dan perkara akhir yang boleh dibuat, adalah membiarkan diri lemas seketika dalam kenangan.

Saya terima. Mungkin begitulah seni hidup.

“Jangan buat lagi macam ni.”

Saya pesan, dalam esakan.

Kali ini, Allah izinkan untuk kami masih bersama. Allah pulangkan dia selepas ditahan rohnya sepanjang malam.

Ya Hayyu ya Qoyyum,

Terima kasih untuk setiap jiwa yang masih ada di sampingku.

Ya Rahman ya Rahim,

Berilah kami peluang berkasih sayang tanpa menyakiti, sehingga segalanya jadi kebaikan buat kami.

Entah bila, kita tak tahu kata-kata berupa apa, pesan berbentuk apa, akan jadi yang terakhir.

Hargai selagi ada.

Terima kasih Allah, atas teguran yang maha lembut.

BACA :

Wanita dapat wang kertas macam ayat ‘mantera’ masa COD, ‘Tak berani aku baca habis. Takut berjangkit’ -Netizen
[VIDEO] Jin jatuh cinta dengan wanita ini, muncul tulisan dan bau hamis di bilik tidur
Remaja lelaki dicabul dari belakang dalam tandas, ‘Lelaki pun dah tak selamat sekarang…’