Inilah punca rakyat sedang susah dan derita

Ramai yang mengalami kesukaran hidup apabila pandemik Covid-19 melanda. Ada yang diberhentikan kerja, ada yang dipotong haji dan tak kurang juga yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Di antara sektor yang terjejas teruk adalah sektor pelancongan, sektor minyak dan gas, serta sektor penerbangan. Kadar pengangguran juga meningkat dan kegawatan ekonomi pun berlaku.

Berikut adalah perkongsian Tuan Radzi Tajuddin yang merupakan CEO Hi HOME, portal hartanah terkemuka tanahair bagaimana cukai durian runtuh ini boleh bantu rakyat Malaysia bagi mengharungi detik-detik sukar ini bersama-sama.

Korek Tabung Persaraan
Apabila rakyat mahukan KWSP memberi kebenaran untuk dikeluarkan wang persaraan mereka, ini bermakna rakyat sedang sengsara.

Hari ini 800,000 manusia sedang mencari pekerjaan. Mereka ini golongan yang menganggur.

Sejak PKP (MCO) diperkenalkan, lebih 89,000 orang telah hilang kerja.

Rata-rata mereka ini bekerja di dalam sektor penerbangan, perlancongan dan perkhidmatan. Sekarang ini sebilangan dari mereka mula menjual kek, membuka warung dan menjadi ejen penghantaran.

Tiada Simpanan Kecemasan
Lebih membimbangkan, 60% daripada tenaga kerja di Malaysia tidak mampu bertahan hatta seminggu tanpa pendapatan atau mempunyai simpanan kecemasan RM1,000.

Maknanya 6 orang dari 10 orang bekerja yang membaca tulisan ini ada balance account kurang dari RM1,000.

Inilah punca rakyat sedang susah dan derita. Tidak hairanlah 266 orang telah bunuh diri sejak Mac tahun ini.

Oleh itu persoalan asas harus ditanya- apakah yang boleh dilakukan?

Lebih tepat, adakah kerajaan telah ‘do enough’ untuk membantu nasib golongan ini di dalam Belanjawan 2021?

Kerajaan dikatakan bakal berbelanja RM6.5 billion untuk memberi bantuan tunai one-off sehingga RM1,800 kepada 8 juta isi rumah.

Kerajaan turut mengeluarkan RM1.5 billion bagi membantu 900 ribu pekrja melalui program subsidi upah.

Ini tidak cukup.

Kerajaan perlu berbelanja lebih dan kerajaan boleh memperoleh hasil yang lebih.

Kita selalu dengar Rakyat jaga Rakyat kerana kerajaan tak cukup duit. Itu mungkin betul.

Walaubagaimanapun kerajaan boleh dapat hasil pendapatan yang baru.

Di dalam Belanjawan 2021, kita diberitahu syarikat-syarikat sarung tangan getah (glove) bersetuju untuk ‘menderma’ RM400 juta kepada kerajaan.

Hakikatnya jumlah ini amatlah kecil jika diabndingkan dengan keuntungan ‘tidak normal’ yang mereka nikmati sepanjang Covid-19.

Top Glove mencatatkan keuntungan bersih RM1.87 bilion, naik 417%. (Ogos 2020)
Hartalega memperolehi keuntungan bersih RM545 juta, naik 424%. (2Q2020)
Supermax pula untung bersih RM789.5 juta. Naik 32 kali ganda. (1Q2020)
Apa maknanya semua ini?

 

Syarikat-syarikat ‘glove’ ini semuanya menikmati keuntungan super-duper ketika ekonomi dunia menjunam dan ketika jutaan rakyat Malaysia bersusah payah untuk hidup.

Harus diingat keuntungan berpuluh kali ganda ini bukan kerana syarikat ini tiba-tiba menjumpai model bisnes jutawan mana-mana sifu atau tiba-tiba menjadi super cekap dan efisen.

Ia hanya terjadi disebabkan suatu kejadian iaitu – Covid-19.

Atas sebab itulah kerajaan, sekiranya kompas moral mereka betul, wajib mengenakan cukai ‘windfall tax’ atau Bahasa mudahnya Cukai Durian Runtuh.

Syarikat-syarikat Glove ini sememangnya mendapat durian runtuh ibarat orang menang loteri.

Sekarang ini pun kita mempunyai cukai ‘windfall tax’ untuk industri kelapa sawit.

Kerajaan mengenakan levi 3% apabila harga CPO minyak sawit melebihi RM2,500 satu tan. Tahun ini sahaja kerajaan akan mengutip RM348 juta melalui cukai ini.

Amat jelas dari sudut moral dan politiknya, taxing luck is fairer than taxing hard work.

Apakah derma RM400 juta dari syarikat-syarikat glove mencukupi?

Jawapannya tidak, malah ia boleh dianggap ‘bargain’.

Sekiranya kerajaan mengenakan cukai durian runtuh sebanyak 10% bagi keuntungan yang berlebihan (excess profit), hasil yang bakal diperolehi sekitar RM790 juta sehingga RM1.4 bilion.

Tetapi kerajaan pernah mengenakan cukai durian runtuh kepada penjana elektirk bebas (IPP) pada 2008 ketika harga minyak dunia naik menggila sebanyak 30% one-off.

Jika kadar yang sama diguna pakai, kerajaan bakal mendapat sehingga RM4.2 bilion.

Ya, RM 4,200,000,000.

Jumlah ini cukup untuk memberikan bantuan RM500 one off kepada 8 juta isi rumah. Rakyat dapat wang lebih untuk hidup.

Alternatifnya, kerajaan boleh meluaskan subsidi upah pekerja RM900 sebulan kepada 1.5 juta pekerja selama 3 bulan. Syarikat boleh kekalkan pekerja.

Jadi pilihan di tangan kerajaan.

Adakah memperkenalkan cukai durian runtuh untuk meperolehi RM4.2 bilion atau hanya setuju dengan derma RM400 juta (yang kemudiannya digunakan untuk membeli peralatan Covid-19 dari mereka juga?)

Atau ada persetujuan (arrangement) lain yang kita tidak tahu misalnya derma politik?

Radzi Tajuddin
Pengasas Bersama MUDA

Sumber:https://www.majalahlabur.com/kewangan/cukai/cukai-durian-runtuh-untuk-bantu-rakyat/