Isu Projek Artikel 11 Jom Ziarah: MAIS personal iklan masih belum di pinda

Isu Projek Artikel 11 Jom Ziarah: MAIS personal iklan masih belum di pinda.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.

“Namun semakan Mais setakat ini mendapati bahawa risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari yang lepas berkaitan dengan ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’, program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Melalui program itu belia yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput menyertainya termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, pada 18 Mac (esok).

Abdul Aziz berkata, bagi maksud program di gereja esok, program itu adalah berkaitan dengan pengetahuan mengenai agama Kristian.

“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, Mais berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain agama Islam.

“Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.

“Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,” katanya.

Beliau berkata, Mais mengambil pendekatan berhati-hati demi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

“Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Mais berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, walaupun objektif program memberi pendedahan sesuatu agama yang diamalkan di negara ini dan bagi menjalin perpaduan erat dalam kalangan penganut pelbagai agama, namun mempelajari agama lain selain Islam di mana-mana gereja atau rumah-rumah ibadat agama lain memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu.

“Ini bagi memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga pembabitan orang Islam dalam ritual agama lain,” katanya.

Justeru itu katanya, Mais menyeru semua masyarakat menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

BACA JUGA:

Keracunan makanan di Gunung Gelemat, Kakitangan Perhilitan maut

Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana dilancarkan untuk transformasi ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia

Remaja cedera sewaktu menangkap ikan, hidung tertusuk anak panah