Jangan banding pasar malam dengan makan besar Tahun Baharu Cina, kata bekas timbalan menteri

Seorang bekas timbalan menteri kesihatan menyokong larangan ke atas himpunan Tahun Baharu Cina, kerana hampir mustahil untuk menguatkuasakan SOP Covid-19.

Bercakap kepada FMT, Dr Lee Boon Chye berkata, aktiviti ziarah keluarga lebih baik dielakkan bagi mengurangkan risiko penyebaran virus.

Beliau mengulas SOP Tahun Baharu Cina dikeluarkan kerajaan yang dikritik orang awam.

Ada yang mempersoalkan rasional melarang himpunan makan besar bersama keluarga, manakala pasar malam dibenarkan beroperasi.

“Untuk bersikap adil, anda tak boleh bandingkan pasar malam dengan makan besar Tahun Baharu Cina di rumah,” kata Lee.

“Apabila orang melawat ahli keluarga mereka, mereka cenderung untuk berkontak rapat dalam ruang yang tertutup.”

Dalam kes pasar malam, ia dibuat di kawasan terbuka di mana jumlah orang yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa ditetapkan, dan setiap orang perlu memakai pelitup muka setiap masa.

Manakala membenarkan aktiviti ziarah keluarga walaupun dengan peraturan adalah agak sukar untuk dilaksanakan, sementara himpunan makan malam itu pula akan melibatkan tiga generasi. Dalam keluarga yang besar, ia melibatkan kelompok yang ramai.

“Bagi saya, kita perlu jauhi himpunan sama sekali. Ia hanya untuk setahun. Kita masih lagi boleh bertemu secara maya.”

Sementara itu, pemimpin DAP, Lim Guan Eng, menggesa Putrajaya mengkaji semula peraturan Tahun Baharu Cina, dengan menyifatkannya “tidak sensitif dan tidak menghormati” komuniti itu.

Katanya, membenarkan makan malam dan himpunan anggota isi rumah yang sama bererti “makan malam biasa”.

“Kalau ibu bapa saya tinggal di hujung kampung, adakah mereka sepatutnya merayakan dan makan bersendirian, dan tidak dapat dilawati oleh ahli keluarga mereka?

“Ini akan menjadi sambutan yang sunyi dan kosong bagi kebanyakan warga emas,” katanya dalam kenyataan, dan menambah peraturan itu tidak masuk akal.

Beliau juga berkata larangan ke atas aktiviti sembahyang di rumah ibadat, yang yang dihadkan kepada lima ahli jawatankuasa, mencetuskan ketidakpuasan orang ramai ketika aktiviti sedemikian bagi agama lain dibenarkan.

Bekas menteri kesihatan Sabah, Frankie Poon, berkongsi sentimen sama mengenai peraturan itu, berkata himpunan makan malam bermaksud semua orang kembali bersama.

“Ahli keluarga yang mungkin mempunyai virus tentu tidak akan turut serta. Namun, mereka yang tidak, dan telah memastikan mereka bebas virus, tentu akan merasa selamat untuk pulang ke rumah.

“Saya rasa semua orang sudah cukup matang untuk tidak menyakiti ahli keluarga mereka. Sudah setahun, jadi semua orang perlu tahu bagaimana menangani situasi ini,” katanya kepada FMT.

Poon berkata kerajaan perlu merumuskan peraturan yang “masuk akal” dan meningkatkan penguatkuasaan.

Sumber:FMT