Jemaah boleh buat aduan, jika hotel di Makkah, Madinah dibatalkan saat akhir

Jemaah boleh buat aduan, jika hotel di Makkah, Madinah dibatalkan saat akhir. Ejen pelancongan mahu pun jemaah umrah Malaysia yang berdepan masalah pembatalan saat akhir tempahan hotel di Arab Saudi boleh membuat aduan menerusi Tourist Care Hotline 930 disediakan pihak berkuasa Arab Saudi.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu, berkata mereka yang sudah membuat tempahan hotel, membayar deposit dan menyelesaikan baki bayaran mengikut tempoh ditetapkan, namun tempahan mereka dibatalkan saat akhir oleh pihak hotel tanpa sebab, boleh membuat aduan menerusi saluran itu.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan bersama Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi pada pelancaran platform NUSUK (nusuk.sa), di Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu.

“Dalam pertemuan itu perkara ini (isu masalah penginapan hotel) ditimbulkan dan pihak berkuasa Arab Saudi beritahu bahawa mereka sudah mewujudkan Tourist Care Hotline 930, untuk membantu jemaah jika masalah timbul.

“Jadi mana-mana syarikat ejen pelancongan yang tempah bilik dan sudah membuat bayaran, tapi hotel langgar perjanjian, boleh hubungi talian ini, jemaah pun boleh buat aduan,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata, dalam perjumpaan itu juga pihak terbabit memaklumkan setakat ini tiada aduan secara rasmi dibuat mana-mana syarikat atau jemaah Malaysia.

“Biasanya kalau sudah ada pengesahan tempahan dan sudah bayar, mereka (pihak hotel) akan hormatinya. Syarikat hotel di Arab Saudi juga tahu tindakan yang akan kerajaan mereka ambil begitu tegas sekali.

“Jadi kenapa tidak ada aduan rasmi dibuat? Saya khuatir ada diantara pemain industri kita tidak berurusan secara terus dengan hotel, berurusan dengan orang tengah… yang ini di luar kawalan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Sabtu lalu, hampir 400 bakal jemaah kecewa selepas sebuah agensi pelancongan memaklumkan penangguhan penerbangan ke Tanah Suci pada saat akhir.

Lebih mendukacitakan, apabila kumpulan pertama yang sepatutnya berlepas pada 25 Februari lalu, menerima mesej dua hari sebelum penerbangan dengan alasan tiada kekosongan hotel di Makkah.

Semalam Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) sudah mengadakan perjumpaan dengan wakil Kerajaan Arab Saudi bagi menyelesaikan masalah kekurangan penginapan di Makkah yang membelenggu agensi pelancongan.

Selain itu, Harun berkata, sepanjang pengalaman lebih 30 tahun dalam industri, beliau juga tidak pernah berdepan masalah hotel ditempah dibatalkan hanya kerana pihak lain menawarkan untuk membayar pada harga lebih tinggi.

Beliau juga menafikan wujud ‘panel’ hotel atau jalinan kerjasama antara syarikat pelancongan dan hotel tertentu untuk memperuntukkan kuota bilik.

“Tidak ada panel tidak ada, kalau ejen pelancongan nak tempah hotel, boleh pilih mana-mana hotel di Arab Saudi dan pergi berurus niaga dengan hotel itu, mereka entiti perniagaan, bila buat tempahan mereka akan lihat ada tidak bilik kosong, kalau ada baru buat pengesahan.

“Kalau ejen pelancongan ikut disiplin dalam membuat tempahan dan memastikan proses pembayaran lancar seperti dipersetujui, masalah tidak akan timbul.

“Sebab itu kita lihat ada syarikat pelancongan negara ini yang tidak berdepan masalah kerana mengikut disiplin dan peraturan ditetapkan, hanya segelintir atau beberapa syarikat yang tidak mengikuti disiplin ditetapkan berdepan masalah,” katanya.

Tambah beliau, setiap syarikat pelancongan perlu ada perancangan rapi sama ada syarikat besar atau kecil, dan menjual pakej apabila sudah terjamin adanya tempat duduk penerbangan dan tempat penginapan.

“Setiap agensi pelancongan bila hendak jual pakej umrah mereka ini, pertama mesti ada pengesahan tempat duduk penerbangan, dah ada hotel penginapan di Madinah dan Makkah, kemudian barulah jual pakej ikut kemampuan kapasiti mereka,” katanya.

BACA JUGA:

Negara sekular, isu penyebaran bahan promosi LGBT perlu di ambil tindakan

Cara tanam bawang putih, macam ni baru menjadi

Sempema program RTNCU, Tentera Laut Diraja Thailand ada lawatan operasi ke Malaysia selama 4 hari