Kabinet Kerajaan Perpaduan diumum hari ini?

Kabinet Kerajaan Perpaduan diumum hari ini?. Pembentukan barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.

Ia dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan itu dapat dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.

Khabar angin bahawa Kabinet baharu bakal diumumkan dalam masa terdekat mulai bertiup susulan satu hantaran melalui akaun Facebook Istana Negara semalam, berserta empat keping foto yang memaparkan Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri.

Biarpun dengan hanya keterangan ringkas yang menyatakan baginda menerima menghadap Anwar jam 5 petang semalam, ia menguatkan lagi spekulasi bahawa senarai lengkap Kabinet baharu sudah dipersembahkan kepada baginda.

Difahamkan, pertemuan mingguan pertama Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong itu diadakan semalam berbanding kelazimannya setiap Rabu, berikutan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung semalam dan hari ini.

Kabinet Kerajaan Perpaduan diumum hari ini?

BH juga dimaklumkan Perdana Menteri akan kembali ke pejabatnya selepas Mesyuarat Majlis Raja-raja.

Jika Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman mengenai Kabinetnya hari ini, beliau dilihat mungkin mengadakan sidang media mengenainya selewat-lewatnya esok bagi memberi cukup masa untuk istiadat angkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata beliau difahamkan pengumuman itu akan dibuat sesegera mungkin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak ada sebarang maklumat mengenainya.

“Saya tak ada maklumat. Ada beberapa wartawan dah hubungi (saya) dan ya saya tak ada sebarang maklumat mengenai perkara ini.

“Yang saya difahamkan sesegera mungkin, tapi saya tak ada maklumat mengenai jangka masa itu,” katanya.

Selain bila Perdana Menteri akan mengumumkan Kabinetnya, turut menjadi teka teki adalah bilangan menteri dan timbalan menteri yang akan dilantik menerajui pelbagai kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.

Beliau turut dilaporkan berkata, akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

BACA:

Adam Shaz dakwa pertahan hak, bukan mahu aibkan Fatin Afeefa

8 kali dapat anugerah dekan, akhirnya lelaki ini dapat anugerah Diraja

Asyik warnakan rambut hingga kulit kepala terkopek, Aeril Zafrel serik