Kak Lah padam ‘posting’ tangki air selepas jadi bahan sindiran

Ahli Parlimen Rantau Panjang dari Pas, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dikesan telah memadam hantaran di Facebook berkenaan bantuan tangki air untuk keperluan 27 buah keluarga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat tersebut sebelum ini sebanyak dua kali menulis syukur kerana membantu penduduk di Kampung Gual Dalam itu.

“Alhamdulillah hampir siap pembinaan tangki air di Kampung Gual Dalam. Setakat ini airnya dapat dimanfaatkan kepada 27 buah keluarga di kampung ini.

“Alhamdulillah puas hati bila dapat bantu kesusahan rakyat,” katanya yang mesra dipanggil Kak Lah.

Walau bagaimanapun, hantaran itu tular di media sosial dan menjadi bahan sindiran orang ramai.

Bahkan, ada mengaitkan beberapa aksi melucukan Kak Lah sebelum ini seperti isu kambing biri-biri, memandu lori tanpa kunci serta dinyatakan laman berita rasmi Pas, Harakahdaily sebagai wakil rakyat yang berkhidmat sejak “lebih seabad yang lalu.”