‘Kalau aku langsung tak bercerita tentang islam, nescaya menangis agaknya aku di sana nanti’

‘Kalau aku langsung tak bercerita tentang islam, nescaya menangis agaknya aku di sana nanti’.

Ada sorang coursemate aku ni bila aku pandang muka dia, mesti aku teringat seorang artis Jepun ni.

Muka lembut dan redup. Sedap mata memandang. Dia pula jenis senyap, memang gaya wanita tradisional habis. Namanya Yukiko ( bukan nama sebenar )

'Kalau aku langsung tak bercerita tentang islam, nescaya menangis agaknya aku di sana nanti'
Yuko Takeuchi sudah meninggal dunia pada Tahun 2020 yang lalu. Peminat J-Dorama ‘Pride’ mesti kenal diani.

6 bulan pertama di sekolah kami tak pernah bertegur sapa pun. Kalau berselisih di beberapa kuliah yang sama, kalau dia senyum aku balas. Kalau dia tak pandang, aku tak senyum la.

Kita ni lelaki melayu terakhir yang pemalu. Tak kan nak pandang wanita sebarangan ye dak. Hehehe.

Dipendekan cerita, ada satu hari tu lepas habis kuliah dia datang tegur aku. Jadi kami pun berborak la sekejap. Kenalkan diri lebih kurang, lepas tu dia pun minta diri untuk balik.

Seminggu lepas tu dia tegur aku lagi. Kali ni bertukar nombor telefon pula. Selang beberapa hari, masuk satu meseg daripada dia.

Dia ajak aku pergi minum ( bahasa orang kita ). Aku tolak beberapa kali kerana sibuk dengan baito ( kerja part time ).

Begitulah acapkali alasan aku. Yang sebenarnya aku takut nak jumpa dia. Hahaha.

Sehinggalah pada satu hari tu. Waktu tu aku tengah kayuh basikal untuk balik ke rumah selepas balik daripada baito. Masuk satu panggilan daripada yukiko.

Dia tanya aku ada di mana. Aku pun cakaplah aku sedang menuju ke sebuah Restoran Itali. Nak pergi makan. Badan letih, perut pula lapar.

Kebetulan pula, katanya dia pun sedang menuju ke situ dan memang berhajat nak ajak aku minum hari tu. Jadi dia call ni untuk cuba nasib. Mana tahu aku free katanya.

Ah sudah, sama tempat la pulak. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal seorang diri ditepi jalan. Tak apalah, kali ni aku jumpalah dia. Dah kerap sangat dia ajak minum. Mungkin ada benda nak ajak bersembang la kot.

Waktu aku sampai di restoran tu, Yukiko dah pun terlebih dahulu sampai. Aku menuju ke meja dia. Makanan yang dipesan sampai tak lama selepas tu, terus aku makan. Aku berhenti berbual dengan dia sekejap. Perut betul-betul lapar.

Banyak yang Yukiko tanya. Pasal aku, keluarga dan Malaysia. Kami berborak macam mana member kelas berborak. Ada benda lawak kami gelak. Waktu cerita serius masing-masing saling berkerut muka.

Tak lama selepas tu, Yukiko beritahu kakak dia dalam perjalanan datang nak makan bersama kami. Dia minta izin untuk kakaknya. Aku ok jelah, bukannya kami berdating pun.

Kakaknya sampai, aku lihat seorang wanita dalam lingkungan usia pertengahan 30 tahun. Rambut lurus panjang. Kulit putih bersih. Muka cantik persis model. Aku dalam hati waktu tu tertanya sendiri, diorang ni keluarga bidadari ke apa?.

Kakaknya duduk, kenalkan diri, order minuman dan mula bersembang.

Ha, waktu ni baru aku faham kenapa Yukiko kerap ajak aku keluar minum. Gayanya tak ubah seperti jurujual MLM. Tapi dia bukan nak ajak aku masuk MLM. Hahaha.

Diorang ni sebenarnya penganut satu agama baru di Jepun. Ini apa yang mereka cerita pada aku lah. Tapi maaf sangat-sangat, aku dah lupa nama agama tu.

Agama diorang ni tak percaya tuhan. Tapi diorang patuh kepada ajaran seorang lelaki yang mereka anggap macam nabi. Dah macam pengikut Ayah Pin pun ada gaya diorang ni.

Kakak Yukiko tunjukkan kepada aku satu buku. Macam kitab panduan mereka lah. Dalam tu banyak panduan untuk bagaimana menjalani kehidupan dengan agama tu dan macam-macam lagi.

Aku diam sahaja mendengar dakyah sesat diorang ni. Dalam hati terasa sedih, sebab betapa islam tak sampai kepada mereka.

Last sekali diorang ajak aku join agama diorang. Dalam erti kata lain aku kena keluar daripada islam. Murtad la, apa lagi. Lepas ajak, mata dua beradik tu memandang tepat ke muka aku. Sepatah pun tak cakap apa-apa.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku pandang mereka berdua. Aku pun mula bertanya samada mereka tahu tak tentang agama Islam. Jawapannya seperti yang dijangka. Mereka tak tahu langsung.

Aku tak terkejut sangat pun sebenarnya. Memang islam di Jepun ni begitu asing. Terlalu baharu walaupun daripada tahun 80an dan 90an dahulu ada sejarah orang Jepun yang memeluk islam, tetapi kerana teramatlah sedikit dan sukar untuk menyampaikan dakwah menyebabkan islam tidak tersebar secara meluas di sana.

Aku mula bercerita serba sedikit tentang islam. Tentang Allah, Tuhan yang satu. Tiada dua, tiga ataupun menyerupai sesuatu.

Aku mula kenalkan kepada mereka Nabi Muhammad SAW. Seorang rasul yang benar. Bukan seperti lelaki yang mereka ikuti itu.

Aku juga ceritakan sedikit betapa mudahnya menjalani hidup sebagai seorang muslim kerana adanya panduan hidup yang serba lengkap daripada kalam Allah, Kitab Al-Qurannul Karim.

Kali ini mereka pula terdiam. Kelu. Entahlah, terdiam mungkin sebab tidak faham agaknya. Aku sempat berpesan kepada Yukiko dan kakaknya yang cantik tu.

Jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang islam, tanya sahaja bila-bila masa. Mana yang aku tahu, aku jawab.

Aku meminta izin untuk pulang selepas itu. Aku katakan kepada mereka ” Tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Terus aku berjalan tanpa menoleh kebelakang lagi.

Di atas basikal, aku tertanya-tanya kenapa Allah hantar seseorang kepada orang yang jahil tentang agama seperti aku ni untuk di dakwah.

Aku yakin ini teguran Allah kepada aku. Teguran supaya aku betulkan diri ketika itu. Peringatan bahawa, sebagai seorang muslim seharusnya sentiasa bersedia untuk menyampaikan dakwah dimana-mana sahaja jika ditakdirkan.

Dakwah bukan kerja Ulama, Ustaz Ustazah sahaja. Bukan perlu harap sahabat Tabligh untuk keluar dan buat dakwah sahaja. Dakwah ni kerja semua orang yang beragama islam. Biarlah walaupun menyampaikan hanya satu ayat seperi yang di pesan Nabi.

Dalam pengalaman aku ni. Kalau aku langsung tak bercerita tentang islam. Nescaya menangis agaknya aku di sana nanti.

Apa aku nak jawab bila Allah tanya apa usaha aku untuk sampaikan islam bila sudah berpeluang di depan mata. Nak mencari ustaz kat sana?. Memang tak adalah sekelip mata.

Kawan-kawan, siapa sahaja yang membaca tulisan ini. Mungkin ada anak-anak, adik-adik, anak murid, jiran tetangga dan sesiapa sahaja yang akan menyambung belajar ke luar negara suatu hari nanti, ingatkanlah mereka.

1. Bila di tempat orang, kita bukan sekadar duta negara. Sebaliknya duta agama juga.

2. Pastikan ada ilmu agama. Busuk-busuk sekalipun biarlah faham dan jelas yang asas sebelum keluar ke mana-mana.

3. Jika ada yang bertanya tentang agama, jelaskanlah sehabis baik. Hidayah milik Allah. Kita tak tahu mungkin asbab kita bercerita, Allah buka pintu hatinya untuk masuk ke agama fitrah ini.

4. Tunjukkanlah sikap dan akhlak yang baik kepada mereka di sana. Kerana kita duta. Tingkah laku kita juga dakwah di mata mereka.

5. Hormati budaya di tempat orang. Jika mereka pembersih, berdisiplin dan beradab dengan kita, maka begitulah juga kita tonjolkan kepada mereka. Kita cerminan agama kita.

Semoga berjaya di tempat orang. Cemerlang dan seimbang rohani dan jasmani untuk bahagia di ‘alam ini’ sehinggalah ke ‘alam sana’.
Doakan juga semoga islam terus berkembang di Bumi Sakura.

Eh, tunggu dulu.

Yang bercakap ini bukan tiada dosa. Banyak sahaja aibnya yang Allah tutup. Tulisan ini sekadar berkongsi pengalaman dan memberi pedoman.

Bukannya menunjuk baik dan pandai. Bukan!… Maaf ya!

BACA :

Wanita seronok dapat sijil cerai, ‘Ok lah dia happy, mungkin dia dah lama derita’
Ini 5 perangai founder bisnes Malaysia yang buat netizen menyampah
Lelaki dedah 11 perkara tentang Ebit Lew yang ramai tak tahu