Kami mahu Menteri kesihatan yang baru

Covid-19 merupakan ancaman kepada kesihatan manusia dan kesihatan merupakan perkara asas bagi memastikan kesinambungan kehidupan.

2. Justeru itu dalam menangani pandemik Covid-19, sudah tentu Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab dan peranan yang utama. Walau bagaimanapun, Kementerian-Kementerian lain juga mempunyai peranan tertentu dan harus memberikan fokus kepada tugas masing-masing.

3. Di Malaysia terdapat 3 individu yang biasanya bersiaran berkaitan Covid-19, iaitu YAB Perdana Menteri, YB Menteri Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

4. Untuk meningkatkan keberkesanan usaha menangani pandemik Covid-19, Kementerian Kesihatan sewajarnya diberikan kuasa lebih besar. Ini bagi memastikan perkara-perkara berkaitan kebajikan dan keselamatan barisan hadapan dapat diberikan perhatian yang serius serta lebih terjamin.

5. Kelemahan YB Menteri Kesihatan tidak boleh dijadikan alasan. Justeru itu, jalan terbaik adalah menukarkan YB Menteri Kesihatan sekarang kepada individu yang punya kewibawaan untuk memerangi Covid-19.

6. Mengambil New Zealand sebagai contoh terbaik, di mana Menteri Kesihatan meletak jawatan apabila beliau terlibat dalam aktiviti yang melanggar SOP iaitu dengan berkelah ditepi pantai. Jawatan Menteri Kesihatan kemudiannya diberikan kepada Menteri Pendidikan untuk memerangi Covid-19. Hasilnya hari ini New Zealand menjadi negara terendah dijangkiti Covid-19.

7. Menunggu YB Menteri Kesihatan Malaysia meletak jawatan seperti menunggu “kucing bertanduk”, rakyat boleh menilai keupayaan beliau. Malahan YAB Perdana Menteri sendiri pernah memberi contoh tidak baik kepada beliau.

8. Maka, Malaysia tidak boleh terus bergantung harap kepada YB Menteri Kesihatan yang lemah untuk menangani pandemik Covid-19 yang semakin membarah.

9. Tanggungjawab melawan Covid-19 melalui YB Menteri Pertahanan ( Pengumuman SOP, PKP) dan Urus Selia Vaksin melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mesti ditamatkan dan diserahkan sepenuhnya pada Kementerian Kesihatan.

10. Malaysia memerlukan Menteri Kesihatan yang punya wibawa untuk menangani Covid-19. Kita sudah darurat, YAB Perdana Menteri punya kuasa mutlak untuk melakukan perubahan itu. Justeru, Menteri paling berwibawa harus mengambilalih tugas Menteri Kesihatan.

11. Sekiranya sukar untuk mendapatkan Menteri yang berwibawa sebagai Menteri Kesihatan, saya ingin mengesyorkan supaya Ketua Pengarah Kesihatan dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

12. Alang-alang Darurat, biarlah tenaga profesional membuat dasar dan melaksanakan proses memerangi Covid-19.

13. Jika kita masih ditakuk lama dan YAB Perdana Menteri tidak bersedia menukar Menteri yang lemah, maka, apa makna darurat kalau bukan kerana politik.

14. Ia sekadar mengesahkan Perdana Menteri lemah didokong oleh Menteri yang lemah.

Adly Bin Zahari
ADUN Bukit Katil