[Video] Kampung ‘hilang’ timbul selepas 71 tahun

Sebuah perkampungan kecil yang dianggap ‘hilang’ dari peta Itali, muncul kembali selepas 71 tahun tenggelam di dalam air.

Perkampungan dikenali sebagai Curon itu sebenarnya ditenggelamkan secara sengaja pada 1950 bagi memberi laluan kepada projek tadahan air dan loji janakuasa hidroelektrik.

Bagaimanapun, orang ramai kini berpeluang melihat semula tinggalan sejarah itu selepas kawasan tadahan terbabit dikeringkan sementara bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilakukan.

Beberapa struktur di kampung itu kelihatan masih utuh dan penduduk sekitar berpeluang untuk berjalan dan melihat sendiri keadaan kawasan berkenaan.

Perkongsian gambar yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, luisa2506 menunjukkan struktur bangunan dan sisa runtuhan yang kelihatan agak menakutkan.

Pengguna Instagram yang juga penduduk tempatan dikenali sebagai Luisa Azzolini turut berkongsi beberapa gambar menakjubkan lokasi berkenaan.

Berdasarkan kisah sejarahnya, projek itu mencetuskan kemarahan penduduk kerana menyebabkan 1,000 orang hilang tempat tinggal bagi membolehkan empangan dibina di situ.

Perkampungan itu terletak di sempadan Austria serta Switzerland dan kebanyakannya penduduknya tidak bertutur mahupun membaca dalam bahasa Itali.

Ia menimbulkan masalah apabila mereka tidak memahami notis makluman bahawa kampung terbabit akan ditenggelamkan sedalam 22 meter untuk projek terbabit.

Bagaimanapun, penduduk terpaksa akur dan 400 daripada mereka dikatakan mewujudkan kawasan perkampungan baru terletak berhampiran selain ada yang berpindah ke tempat lain.

Sejak itu, satu-satunya tinggalan Curon yang masih dilihat di lokasi dikenali sebagai Tasik Resia itu adalah menara gereja yang masih terpacak sejak dibina pada abad ke-14.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/fmt-ohsem/ohsem-nak-ke-mana/2021/05/21/kampung-hilang-ditemui-semula-di-itali/