Kementerian Kewangan pantau untuk permudahkan moratorium bersasar

Kementerian Kewangan memberi jaminan akan memantau proses permohonan moratorium bersasar supaya dipermudahkan pihak institusi kewangan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemantauan itu akan dibuat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan permohonan itu berjalan lancar.

“Seperti diumumkan, golongan B40 akan menerima moratorium ini secara automatik asalkan mereka membuat permohonan manakala M40 perlu mengemukakan self declaration (pengisytiharan kendiri) untuk dapatkan kelulusan tak perlu (kemukakan) dokumen.

“Tetapi saya prihatin perkara dibangkitkan, mungkin ada masalah administrative (di bank) dan kita perlu memantau.

“Jadi, saya dengan Bank Negara akan cuba sedaya upaya untuk memastikan pihak bank untuk membuat moratorium ini tidak menjadi sukar,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu pada sesi perbahasan, isu berkenaan disuarakan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PAS-pasir Mas), turut mencelah soalan mengenai aduan pihak bank menolak penentusahan peminjam ketika membuat permohonan moratorium.

Mengulas lanjut isu itu, Tengku Zafrul mengakui menerima aduan berkenaan, namun pihaknya memberi jaminan akan memantau perkara itu.

“Ada memang ada kes tetapi tidak banyak aduan diterima buat masa ini. Bagi pihak yang ingin membuat aduan, Bank Negara ada menyediakan talian khas untuk mereka salurkan aduan.

“Tetapi saya di pihak kementerian akan turut memantau perkara ini,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/654131/kementerian-kewangan-pantau-untuk-permudahkan-moratorium-bersasar