Kenali penyakit de Quervain Tenosynovitis, sakit jari akibat ketagihan video game

Kenali penyakit de Quervain Tenosynovitis, sakit jari akibat ketagihan video game.

Sakit ibu jari akibat ketagihan video game, kenali penyakit de Quervain Tenosynovitis

BUDAK-BUDAK zaman 80an boleh teringat masa-masa kecil dahulu, jika hendak main video game, kita terpaksa pergi ke arked di pusat beli-belah. Hingar bingar bunyi di arked.

Kekecohan para pengunjung arked masih bermain di telinga. Tetapi sekarang, untuk bermain video game, kita tidak perlu ke mana-mana.

Sekarang ada video game di komputer, home console seperti Playstation dan Xbox dan juga di telefon bimbit masing-masing.

*Bila keseronokan bertukar menjadi kesakitan*

Untuk menikmati video game, jari kita hendaklah sentiasa bergerak di permukaan skrin atau menekan ‘game controller’.

Aksi ibu jari dan jari telunjuk ini akan terus bergerak tanpa henti. Lama-kelamaan, sendi-sendi jari ini akan sakit dan akan menggangu aktiviti harian.

Kecederaan disebabkan pergerakan berulang pada sendi-sendi jari diberi nama ‘Gamer’s Thumb’ atau De Quervain Tenosynovitis ibu jari.

Sakit ini adalah keradangan yang berlaku pada tendon di bahagian pangkal ibujari sehingga ke lengan.

Secara amnya, pesakit akan merasa sakit dan bengkak di bahagian bawah ibu jari.

Gerakan cengkaman akan menjadi lemah atau mendatangkan kesakitan. Lama-kelamaan kesakitan ini juga boleh menular ke pergelangan tangan dan juga bahagian lengan.

*Bukan bahana permainan video semata*

Ada juga sebab-sebab lain yang mengakibatkan De Quervain Tenosynovitis seperti membawa atau mengangkat barang yang berat, bermain sukan seperti golf dan permainan yang menggunakan raket, bahkan bermain piano juga boleh menjadi penyebab.

Pendek kata, segala jenis aktiviti yang melibatkan pergerakan ibujari dan lengan yang berulang-ulang dalam jangka waktu yang lama, boleh mendatangkan risiko kepada penyakit ini.

Perhatikan berapa banyak anda menggunakan ibu jari apabila sedang scroll, text atau bermain video di telefon bimbit.

*Pelbagai cara menangani kesakitan Gamer’s Thumb*

Sekiranya sakit dan bengkak kerap berlaku sehingga mengganggu aktiviti seharian anda, sudah sampainya masa anda berjumpa doktor pakar.

Apabila diagnosis menunjukkan anda sakit Gamer’s Thumb, pakar Ortopedik anda wajar menasihati anda supaya banyak berehat dan kurangkan kekerapan bermain telefon bimbit atau permainan video.

Doktor pakar juga akan menasihati anda untuk menggunakan krim sapu yang melegakan sakit sendi tulang, melegakan bengkak dengan meletakkan pek ais ke ibu jari serta lengan, dan makan ubat tahan sakit. Anda boleh juga memakai pendakap atau ‘splint’ untuk merehatkan kawasan di sendi ibujari.

Pada masa yang sama, anda akan dirujuk kepada physiotherapist yang bertauliah, untuk merancang jenis senaman yang sesuai bagi mengembalikan mobiliti ibu jari dan mengurangkan kesakitan.

Jika semua cara-cara yang telah disebutkan tidak dapat mengurangkan kesakitan, suntikan ke atas kawasan yang sakit atau pembedahan, boleh dibincang untuk melegakan kesakitan.

*Bersederhana dan jangan melampaui batas*

Apa sahaja aktiviti yang anda lakukan, setiap satu mempunyai baik dan buruknya. Kita perlu bersederhana dalam melakukan sebarang aktiviti supaya tidak mendatangkan keburukan jangka masa pendek dan jangka masa panjang seperti;

• Ambil masa untuk berehat dan melakukan regangan (stretches).
• Hadkan waktu menghadap sebarang skrin dan gantikan dengan aktiviti-aktiviti di luar seperti bersenam atau beriadah dengan kawan-kawan secara bersemuka.

Baca juga Otot melemah hingga buatkan pesakit hilang upaya untuk bergerak. Awasi anak-anak jika mereka mengadu hal ini

Ini adalah penting untuk kita menggabungkan gaya hidup sihat termasuk tidur yang cukup, pemakanan yang sihat dan bersenam selain dari berdepan dengan skrin atau bermain video game sahaja.

BACA JUGA:

Resipi Kimchi sedap dan mudah nak buat walaupun bahan tak cukup

Banjir Johor: Enam daerah masih terjejas

Anak muda peroleh RM400,00 sebulan hasil tanam sayur