Kita terlepas pandang dengan penularan Covid-19

KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu hingga menjangkau empat angka, berkemungkinan berpunca daripada penularan varian baharu dari United Kingdom (UK).

Felo Kanan Akademi Sains Malaysia dan Perunding Penyelidik Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, ketika menyuarakan kebimbangan itu berkata, varian dikenali sebagai UK B1.1.17 berupaya merebak dengan cepat, mencecah lebih 70 peratus berbanding varian biasa.

Katanya, Malaysia ketika ini berdepan situasi membimbangkan apabila kajian awal diterajui saintis British minggu lalu mendapati varian UK berkenaan mengundang risiko maut lebih 30 peratus dibanding dengan virus biasa COVID-19.

“Saya khuatir, jujukan genom terhadap sampel COVID-19 di Malaysia masih kurang dan akhirnya berkemungkinan menyebabkan banyak kes positif yang berlaku sebenarnya berpunca daripada varian tetapi kita terlepas pandang.

“Tentu lebih banyak kes dalam komuniti berikutan peningkatan kadar positif harian, memandangkan varian UK dan varian lain mempunyai kadar penularan lebih cepat.

“Selain UK, dunia ketika ini juga bimbang mengenai dua varian lain iaitu dari Afrika Selatan (B1.351) dan Brazil (P.1) yang masing-masing ditemui sekitar Oktober serta Julai tahun lalu.

“Kerisauan kini terarah kepada P.1 kerana mempunyai mutasi yang membolehkan ia menyusup masuk ke dalam sistem pertahanan badan manusia dan mengundang mengundang risiko jangkitan semula, malah kegagalan kesan vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meskipun varian dari Brazil dan Afrika Selatan belum dikesan menular ke Malaysia setakat ini, Sai Kit berkata, tindakan strategik harus dirintis sebagai langkah persediaan bagi membendung sebarang risiko peningkatan kes.

Bersandarkan prinsip itu, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memantau sebarang kemasukan varian baharu memandangkan ia mencetuskan kesan terhadap epidemiologi.

“Varian boleh menjejaskan diagnostik, terapeutik dan vaksin, malah kaedah penularan, justeru amat penting untuk Malaysia melakukan usaha berkaitan.

“Ia boleh dibuat menerusi pemantauan kemasukan varian virus dan menyumbangkan hasilnya berbentuk data kepada pangkalan maklumat jujukan genom global.

“Berdasarkan perangkaan semasa, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara jiran termasuk Thailand yang sudah menyumbang hampir 4,000 jujukan genom sebagai rujukan antarabangsa.

“Sekiranya KKM tidak mampu menanggung lebihan bebanan tugas ini, pakar akademik dan makmal swasta mampu menghulurkan bantuan,” katanya.

Sementara menanti maklumat lanjut dan usaha berkaitan, Sai Kit mencadangkan Malaysia terus melaksanakan sekatan perjalanan ketika pandemik COVID-19 masih meruncing, selain mengetatkan kawalan di sempadan.

Beliau berkata, penerapan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat ternyata menjadi ‘senjata’ ampuh bagi membendung penularan COVID-19 di Malaysia.

“Pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan dilihat masih berkesan, walaupun kita berdepan dengan varian baharu yang lebih senang merebak.

“Vaksin yang bakal dibekalkan menjelang Mac ini juga memberi sinar baharu terhadap langkah perlindungan, tetapi kita harus kekal bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/780994/saya-bimbang-kita-terlepas-pandang