Lans Koperal direman 7 hari, tembak isteri lebih lima das. Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang disyaki menembak mati isterinya lebih lima das di sebuah rumah di Simpang Empat, di sini, semalam direman tujuh hari sehingga 12 Mac bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Perintah reman dikeluarkan jam 9 pagi oleh Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor di wad di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar di mana suspek kini dirawat dan bakal menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital itu.
Suspek berusia 27 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh, 26, yang juga seorang suri rumah.
Supek dipercayai menembak mangsa lebih daripada lima das tembakan menggunakan pistol dari jenis Walther P99 dari jarak dekat mengenai bahagian muka di mata sebelah kiri mangsa di dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi, mengesahkan reman suspek dan ketika ini pihaknya juga sedang menyiasat motif suspek bertindak sedemikian sehingga membunuh isterinya.
“Malah, kita juga sedang menyiasat daripada pelbagai aspek sama ada suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah, faktor kemurungan atau permasalahan membabitkan mental.
“Ini disebabkan tiada sebarang pergaduhan mahupun pertikaman lidah berlaku antara pasangan terbabit sebelum kejadian itu,” katanya.
Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, suspek dipercayai baharu pulang dari tugasannya menembak mati isterinya.
Malah difahamkan daripada keluarga mangsa, suspek tidak menunjukkan sebarang masalah atau perlakuan pelik sebelum kejadian.
Selain itu juga, suspek dikatakan sempat minum bersama isteri di dapur sebelum kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
BACA JUGA:
Mangsa banjir menurun kepada 49,410 orang
Program Town Hall Rakyat edisi pertama dilancarkan hari ini
Dua bekas pekerja Goldman Sachs di sabit kesalahan, perjanjian penyelesaian 1MDB diragui