Lelaki maut dikisar mesin bijih besi

Seorang lelaki warga Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi di sebuah lombong di Kampung Aring 5, dekat sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sakdan Muhammad, 36, dipercayai terjatuh ke dalam jentera itu apabila seorang rakan sekerjanya membuka suis bagi memulakan operasi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata terdahulu mangsa dikata melakukan pemeriksaan seperti biasa pada mesin berkenaan kira-kira jam 8.40 pagi, bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik sebelum operasi melombong dimulakan.

BACA JUGA : Sinar Harian mohon maaf kepada Lim Kit Siang

Ketika itu, beliau berkata, mangsa dikatakan berada di atas jentera terbabit, manakala seorang rakannya pula bersedia di tempat suis mesin tidak jauh dari situ.

Dua maut, tiga parah dua kereta bertembung di Gua Musang
Tanah runtuh: Jalan Gua Musang – Lojing ditutup
Pemandu maut digilis lori sendiri

“Mangsa dikatakan berpuas hati dengan keadaan mesin itu dan memberi arahan kepada rakannya supaya membuka suis bagi memulakan operasi.

BACA JUGA : Rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia

“Sebaik saja jentera dihidupkan, rakannya itu dikatakan turun ke bahagian bawahnya sebelum ternampak mangsa berdiri di atas mesin terbabit yang sedang bergetar dengan kuat,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Choon Foo berkata, rakannya dikatakan tidak sempat menutup suis mesin sebelum ternampak mangsa terjatuh ke dalam jentera berkenaan.

Beliau berkata, polis yang menerima panggilan berhubung insiden itu kira-kira jam 12 tengah hari, bergegas ke lokasi dan menemui mangsa berada dalam jentera terbabit.

Katanya, mangsa yang baru bekerja di lombong itu dua minggu lalu didapati mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Setakat ini, hasil siasatan di tempat kejadian serta keterangan saksi mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dirujuk kepada Kedutaan Indonesia bagi urusan selanjutnya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/09/868555/lelaki-maut-dikisar-jentera-palong-bijih-besi