Lelaki panjat pokok disangka kera, mati ditembak pemburu

Seorang lelaki yang disangka kera mati ditembak ketika memanjat pokok buah terap di Kampung Kejapil, Bekenu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohamad Hallim Jamee, 32, meninggal dunia serta-merta dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu.

“Mayat mangsa ditemui tersangkut atas pokok buah terap dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah dikerah ke lokasi kejadian untuk menurunkan mayat mangsa,” katanya hari ini.

BACA JUGA : Pemilik Motosikal ‘Fancy’ nekad langgar Polis bila diminta ke tepi

Difahamkan, mayat mangsa diturunkan pukul 4.45 petang dari pokok setinggi 10 meter itu.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 70 tahun ditahan dan selaras senapang patah dirampas bagi membantu siasatan.

Suspek seterusnya dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/09/10/lelaki-panjat-pokok-disangka-kera-mati-ditembak/