LIVE!!! Undi belah bahagi kementerian perdagangan Antarabangsa dan industri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata tawaran jawatan sebagai Penasihat Petronas kepada Tengku Razaleigh Hamzah tidak menjejaskan keyakinan pasaran terhadap syarikat itu.

Dia berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen pada 2 Dis kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya apakah tawaran berkenaan berdasarkan satu transaksi politik yang akan menjejaskan keyakinan pasaran kepada Petronas.

Selain itu Lim juga meminta penjelasan mengenai prestasi terkini syarikat minyak milik negara itu.

“Tawaran jawatan kepada mana-mana individu tidak akan menjejaskan keyakinan pasaran terhadap Petronas. Ini adalah kerana Petronas adalah sebuah syarikat yang diuruskan dengan baik dan diterajui oleh pasukan pengurusan yang cekap.

“Keyakinan pasaran serta para pelabur bergantung kepada pelbagai faktor seperti pertumbuhan ekonomi negara dan perdagangan dunia yang sangat terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.


“Faktor ini ditambah dengan kejatuhan teruk harga minyak mentah dan perang perdagangan (trade war) antara China dan Amerika Syarikat,” katanya dalam jawapan bertulis.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh memaklumkan yang beliau menolak tawaran untuk menjadi penasihat Petronas atas dasar perlembagaan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini didakwa menawarkan jawatan kepada ahli parlimen di syarikat dan agensi berkaitan kerajaan sebagai balasan terhadap sokongan politik.

Mengenai prestasi suku kedua Petronas, Mustapa menjelaskan bahawa ini disebabkan oleh ekonomi yang dilanda Covid-19.