Lokasi wajib bawa anak-anak jika bercuti ke Sarawak

Lokasi wajib bawa anak-anak jika bercuti ke Sarawak.

KE MANA anda membawa anak-anak bercuti untuk kali ini? Asyik memilih pantai dan theme park, apa kata cuba selongkar lokasi yang berilmiah, namun tetap dapat menarik minat anak-anak.

Salah satu lokasi yang menjadi kunjungan kami ialah Muzium Budaya Borneo yang terletak di Kuching, Sarawak.

Dibuka secara rasmi pada 9 Mac 2022, inilah muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara ini.

Dibina dengan lima aras dan setiap satunya mempunyai tema berbeza yang menampilkan reka bentuk tersendiri, sekali gus mencerminkan kraf tradisional Sarawak dan kekayaan warisan.

*TEKNOLOGI AUDIO VISUAL*

Lebih menarik, bukan sahaja orang dewasa, bahkan anak-anak dapat mempelajari banyak benda berkaitan budaya di Sarawak dengan bantuan teknologi audio visual dan juga realiti terimbuh (AR).

Ia akan memudahkan lagi orang ramai untuk memahami setiap penceritaan, selain berpeluang melihat artifak yang terdapat di muzium berkenaan.

Di aras satu, terdapat auditorium dan bilik majlis untuk penganjuran pelbagai acara termasuk kemudahan pelawat seperti kaunter pertanyaan, restoran dan kedai hiasan.

Seterusnya di aras dua dilengkapi Galeri Kanak-Kanak dan Galeri Seni dan Kraf.

Galeri tersebut menyediakan persekitaran pembelajaran interaktif untuk kanak-kanak melalui pameran dan aktiviti bersesuaian.

Pasti membuatkan mereka tidak bosan tatkala berada di sana.

Sementara di bahagian Galeri Seni dan Kraf pula memberi peluang kepada pengunjung untuk mendekati, mempelajari dan mendalami seni pertukangan tradisional, tarian dan muzik di Bumi Kenyalang.

Tatkala melangkah kaki ke aras tiga, mata anda pasti terpegun melihat ruang yang bertemakan ‘In Harmony With Nature’.

Kalau nak tahu, ia juga merupakan galeri terbesar dengan ukuran ruang pameran iaitu 2,188 meter persegi.

Di sudut berkenan, pengunjung dapat meneroka hubungan masyarakat tempatan dengan persekitaran semula jadi berdasarkan perjalanan sungai melalui tiga wilayah geografi utama dengan pengalaman yang mendalam dan pelbagai deria.

*ZAMAN PRASEJARAH & ZAMAN MODEN*

Tidak lengkap andai penerokaan anda tidak diteruskan ke aras empat yang menempatkan Galeri Perubahan Masa.

Lokasi itu memberi tumpuan kepada pendidikan yang diliputi dalam kurikulum sejarah.

Ini termasuklah penemuan dan arkeologi serta menceritakan sejarah Sarawak bermula dari zaman prasejarah hingga zaman moden.

Menjejak kaki ke tingkat paling atas, ia menempatkan karya agung muzium dengan mempamerkan Galeri Objek Keinginan pula.

Selain memberi tumpuan kepada objek dengan keindahan artistik artifaknya, setiap satu peninggalan sejarah itu memperlihatkan kemahiran pertukangan, reka bentuk dengan kuasa ketuhanan dan sebagai simbol status.

Apa yang pasti, percutian anda ke Muzium Budaya Borneo cukup berbaloi apabila anak-anak berpeluang mempelajari benda baharu dan berilmiah, sesuai untuk menambah pengetahuan anak-anak tentang warisan dan kebudayaan negeri Sarawak.

BACA JUGA:

Wanita ini kongsi tip elak sampah berbau & berair.. Guna bekas sarang telur sahaja!

Mandi air panas atau air sejuk yang baik? Ini penjelasan Doktor

9 ciri yang perlu diambil kira sebelum beli dashcam