Malaysia bawa resolusi kesederhanaan di PBB

Serangan pengganas di Eropah baru-baru ini membuktikan bahawa lengkungan keganasan dan fahaman ekstremisme masih bermaharajalela, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada sesi intervensi di Sidang Kemuncak ASEAN – Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Ke-11 di sini hari ini, beliau berkata faktor itu adalah pemangkin kepada komitmen Malaysia untuk menangani ancaman pengganas dari peringkat akar umbi.

Beliau berkata, komitmen berkenaan bagaimanapun harus seiring dengan usaha mempromosikan sikap saling menghormati, keamanan dan harmoni, sambil pada masa sama menolak sebarang provokasi, prejudis, kebencian serta perkauman.

 

“Dalam hal ini, Malaysia amat mengalu-alukan Pelan Tindakan Mencegah Keganasan Ekstremisme (PVE) oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang memfokus kepada semua elemen pencegahan, iaitu satu bentuk tindakan sedia diamalkan di Malaysia.

“Seperti disarankan PBB, Malaysia ketika ini sedang membangunkan secara terperinci pelan tindakan khusus untuk PVE,” katanya.

Menyentuh mengenai isu negara bergolak Palestin, Perdana Menteri menarik perhatian, pendirian Malaysia dalam hal ini kekal tidak berubah, dan masih konsisten dengan komitmen menyokong perjuangan mereka sejak sekian lama.

“Malaysia dengan ini menyeru PBB dan komuniti antarabangsa untuk melaksanakan langkah lebih konkrit dalam meringankan beban yang ditanggung semua rakyat Palestin ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia jelas Muhyiddin tidak terlepas daripada menerima tempias pergolakan wilayah Rakhine di Myanmar, apabila lambakan pelarian Rohingya turut menjadikan negara ini lokasi perlindungan.

“Malaysia bagaimanapun tidak lagi boleh menerima kedatangan mereka kerana sumber dan kapasiti yang semakin terhad, apatah lagi dengan ancaman COVID-19 yang masih melanda negara.

“Atas dasar ini, kami menyeru beban dan tanggungjawab ini sama-sama digalas pihak lain, selaras dengan apa yang digariskan oleh Persefahaman Global Mengenai Pelarian (GCR) bagi menyelesaikan konflik dihadapi etnik Rohingya ini,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/754412/insiden-pengganas-di-eropah-bukti-keganasan-masih-bermaharajalela